Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil berkata kerajaan kesal dengan tindakan penurunan tersebut dan sedang menantikan penjelasan sama ada ia dibuat pihak Meta secara automatik atau berdasarkan kepada aduan diterima daripada orang ramai.
"Semua platform media sosial mempunyai tatacara atau community guidelines, standard sendiri, dan mereka mungkin melakukan tindakan penurunan hantaran (dibuat) berdasarkan garis panduan masing-masing. Kita akan tunggu penjelasan pihak Meta," katanya dalam sidang media di sini, hari ini.
Beliau yang juga jurucakap Kerajaan Perpaduan berkata setakat ini belum ada organisasi media yang memuat naik hantaran Perdana Menteri mengenai pembunuhan Ismail Haniyeh atau perbualan dengan wakil sayap Hamas diturunkan, selain Bernama Radio.
"Sekiranya ada rakan media yang mengalami (hantaran diturunkan) sila maklumkan kepada pihak Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) untuk kembalikan hantaran itu," katanya.