KUALA LUMPUR: Persatuan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu Malaysia (UNAM) memuji sikap kemanusiaan kerajaan Malaysia dalam memindahkan sebahagian rakyat Palestin yang cedera parah dan memberikan bantuan perubatan kepada mereka.

Presiden UNAM Datuk Seri Mustapa Mohamed dalam kenyataan berkata dalam menggesa kekejaman ini dihentikan serta-merta, UNAM menyokong penuh dan mengesahkan pendirian kerajaan Malaysia yang konsisten dan berprinsip dalam perjuangan adil untuk tanah air Palestin.

Beliau berkata UNAM melihat rujukan yang dibuat kepada "medan pembunuhan" Palestin oleh Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim adalah tepat dan sesuai.

"Ia adalah gambaran yang telah lama tertangguh mengenai serangan yang tidak seimbang dan agresif terhadap rakyat Palestin," tambahnya.

Menurut Mustapa, UNAM mengutuk dengan sekeras-kerasnya kemusnahan maut yang dialami penduduk awam Gaza oleh tentera Israel sejak Oktober 2023.

Dianggarkan lebih 40,000 rakyat Palestin terbunuh dalam tempoh 10 bulan yang lepas dan jumlah yang lebih besar terutamanya wanita dan kanak-kanak telah cedera manakala lebih 1.7 juta rakyat Palestin kehilangan tempat tinggal mewujudkan bencana kemanusiaan yang dahsyat, katanya.

Beliau berkata UNAM menggesa gencatan senjata segera dan berterusan, dan menamatkan pertumpahan darah yang telah berlaku terlalu lama.

Tambahan pula, hak Palestin untuk menjadi ahli penuh Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang disokong oleh lebih 140 negara anggota harus diberi perhatian oleh seluruh masyarakat antarabangsa dan perlu dilaksanakan dengan segera, kata Mustapa.

-- BERNAMA