YANG saya maksudkan ekonomi sara hidup ialah satu program ekonomi yang wajib segera dilaksanakan bagi membolehkan sesiapa saja rakyat negara ini menceburi aktiviti ekonomi bagi menyara hidup mereka atau keluarga mereka. Semua business enablers yang dibina kerajaan dan peranannya dimainkan oleh pelbagai agensi, wajib cari formula paling mudah, praktikal dan berimpak tinggi, bagi pastikan program ekonomi sarahidup ini berjaya dilaksanakan dengan cukup berkesan.

Kita pernah laksanakannya sebaik saja DEB diperkenalkan diawal era 1970-an. Pemberian micro credits yang disalurkan menerusi beberapa bank utama seperti BBMB dan Bank Pertanian, misalnya, buktikan perlaksanaan program seperti ini mampu cipta kejayaan. Misi utama program seperti itu pada era itu ialah pembasmian kemiskinan.

Ekonomi kita hari ini bukan lagi di tahap gawat, ia sudah hampir lumpuh. Dalam suasana sebegini tidak ada masa bagi kerajaan menerusi mana-mana agensinya, baik jabatan kerajaan, agensi separa-kerajaan (quasi-government) mahupun GLC, buat kerenah dengan pelbagai birokrasi karut-marut.

1) Wawasan Kemakmuran Bersama

Sudah sekian lama saya cuba mempromosikan agenda pembangunan berteraskan kemakmuran (prosperity). Malangnya apabila kerajaan setuju terima agenda ini para penggubal dasar pilih model yang berlainan. Barangkali mereka ingin berbeza cara dari apa yang negara-negara lain yang sudah berhijrah kepada agenda pembangunan berteraskan kemakmuran lakukan. Itu boleh saya fahami, tapi khuatir mereka kurang faham akan kandungan utama yang wajib ada bagi membina kukuh model yang sesuai bagi perlaksanaan Wawasan ini.

2) Halangan Besar

Bagi saya, ujian sebenar kefahaman Wawasan ini dan bagaimana hendak laksanakan ekonomi sara hidup ini dalam keadaan semasa ialah apabila hendak digembleng semua aspek yang dianggap tiang seri yang universal dan dipakai bagi menegakkan Wawasan ini.

Dalam rencana ini saya sentuh 5 saja aspek yang menjadi sebahagian dari lapan tiangseri utama yang sepatutnya menjadi the integral parts kepada Wawasan ini; iaitu governance, pendidikan, ekonomi, keselamatan dan kesihatan. Pada ketika dan saat ini kelima-lima aspek ini wajib benar-benar difahami bagaimana ia boleh menjadi impetus utama kepada perlaksanaan program ekonomi ini. Sebaliknya, jika ia tidak dikendali dengan bijaksana, mana-mana aspek itu boleh menjadi batu penghalang.

Begitu luas skopnya. Kemelut politik semasa masih belum reda sekalipun isu pemilihan Perdana Menteri sudah boleh dianggap selesai. Ini kerana rakyat Malaysia telah dijangkiti satu wabak yang jauh lebih dahsyat dari jangkitan oleh COVID19, iaitu wabak politik buruk. Tahap keburukannya pun dah sama seperti di beberapa buah negara lain yang dijangkiti wabak ini.

Saya masih ingat komen seorang bekas pemimpin kanan Negara yang amat dihormati dan disegani dunia. Sekitar Februari 2011, saya membawa tiga diplomat asing yang ingin lakukan kunjung hormat berjumpa beliau. Bila salah seorang diplomat itu bertanya apakah cabaran paling besar gejala politik di beberapa buah negara yang sering bergolak, jawab beliau secara sepontan ialah para pemimpin mereka menghabiskan banyak masa berpolitik.

Jika parti A menang pilihan raya umum, parti B enggan terima keputusan itu dan akan terus ganggu kerajaan yang dipimpin oleh parti A, sehinggalah kerajaan itu tumbang. Begitu juga sebaliknya, jika parti B memang, parti A pun akan lakukan tindakan yang sama. Penyudahnya kata bekas pemimpin itu lagi, para pemimpin politik negara-negara berkenaan habiskan masa berpolitik dan abaikan pembangunan negaranya dan kesejahteraan rakyatnya.

Saya dapat bayangkan jika kerajaan yang baru dinobatkan dan diterajui Tan Sri Muhyiddin berdepan wabak seperti ini. Selain orang politik, turut menyebarkan wabak politik buruk ini ialah ramai dikalangan pengamal media, menggunakan nama, pengaruh dan kepakarannya, meracuni pemikiran rakyat bagi memburukkan lagi keadaan. Saya berhenti di sini dan diharap saudara sekelian faham maksud saya.

Majoriti rakyat Malaysia sama ada buta sejarah, enggan terima fakta sejarah atau mereka memang penyokong tegar puak republikan yang enggan menerima sistem pemerintahan Negara diterajui Raja Berperlembagaan. Ramai antara mereka ini golongan berpengaruh yang mampu mencelarukan minda rakyat yang innocent. Ini juga unsur yang mampu mencetus gangguan kepada kerajaan yang sedang berusaha mengutamakan perlaksanaan ekonomi sara hidup ini.

Malangnya dalam model WKB 2030 yang disarankan, aspek pendidikan tidak ditegakkan sebagai salah satu tiang seri utama dan jikapun ada, ia tidak dijadikan tiang seri yang cukup flexible, untuk respons dengan apa juga keperluan semasa.

Hingga kini saya belum dengar satu model ekonomi yang begitu adaptable yang boleh respons secara spontan dengan apa juga pergolakan yang berlaku, termsuk pergolakan politik atau ekonomi. WEF 2020 yang baru berlangsung di Davos awal tahun ini telah menulis semula Davos Manifesto 1973 menjadi Davos Manifesto 2020, yang tekankan kepentingan stakeholders capitalism dalam mengimbangi kemajuan ekonomi. Saya lebih tertarik menggunakan istilah stakeholders corporation berbanding stakeholders capitalism kerana bagi saya, istilah stakeholders corporation melambangkan kepelbagaian kelompok pemegang-taruh yang berkepentingan setara bagi imbangi sesuatu agenda ekonomi.

Bagi saya, formula paling mudah untuk memahami apa itu kemakmuran (prosperity) ialah:
Kemakmuran (Prosperity) = Kekayaan (Wealth) + Kesejahteraan (Wellbeing).

Mereka dalam kelompok shareholders corporation mengutamakan keuntungan bagi mencipta kekayaan (wealth), manakala pelbagai kelompok dalam stakeholders corporation mengutamakan kesejahteraan (wellbeing).

Jika program ekonomi sara hidup guna pakai formula ini bagi tangani kegawatan yang sedang dialami, maknanya mereka dalam kelompok shareholders corporation punyai peranan dan tanggung-jawab untuk terajui apa juga usaha kerajaan melaksanakan program ini. Jangan hendaknya mereka cuba memaksimumkan keuntungan dengan mengeksploitasi pendekatan ‘internal spin-off’ seboleh-bolehnya.

Inilah masanya mereka dalam kelompok ini terutamanya dalam kalangan GLC, GLIC, PLC malah MNC, menunjukkan keikhlasan mereka menerajui sesuatu sektor ekonomi itu dengan memayungi sebanyak mungkin institusi-institusi ekonomi di kalangan stakeholders corporation, terutama dikalangan micro enterprises yang serba kekurangan, untuk mencari rezeki menyara hidup mereka.

Dalam kerangka WKB2030 yang saya baca, aspek ini tidak menjadi sebahagian dari tiang seri Wawasan ini. Pada hemat saya, ia adalah satu kesilapan amat besar. Bayangkan dalam keadaan sekarang pelbagai bentuk ancaman yang gugat keselamatan, baik Negara, institusi mahupun masyarakat, adalah serius. Mana mungkin selesa untuk rakyat jelata kendalikan bisnes jika pelbagai bentuk ancaman keselamatan berada dalam keadaan yang membimbangkan.

Seperti keselamatan, aspek ini juga tidak menjadi sebahagian dari tiangseri WKB2030. Maaf cakap, sekali lagi saya ingin menempelak pembuat dasar yang merencanakan Wawasan ini kerana gagal memahami kepentingan aspek ini dalam pembinaannya. Buktinya kini depan mata kita, apabila COVID19 melanda satu dunia, baru kita insaf betapa pentingnya aspek kesihatan dalam kerangka Wawasan ini.


3. Penutup

Rumusan yang ingin saya buat ialah, dalam keadaan di mana kerajaan perlu dengan segera laksnakan program ekonomi sara hidup ini, terlalu banyak ranjau menunggu di depannya. Hendaknya kita semua bantu redakan atau turunkan suhu politik. Hendaknya kita semua redha berikan kerajaan yang ada ini peluang untuk perbaiki apa juga kepincangan dan bina semula Negara tercinta ini.

Sama ada saya menerima model perlaksanaan WKB 2030, ini bukan masanya untuk saya dan kami yang kritikal terhadap isu ini untuk berdebat mengenainya. Fokas kami semua ialah untuk bergandingan tangan dengan kerajaan yang dipilh dan jentera kerajaan yang serba lengkap ini untuk dengan segera pulihkan kesejahteraan semua rakyat, tanpa mengira disebelah batas pemisah politik mana mereka berada.



* Datuk Dr Hasan Mad ialah Setiausaha Agung Majlis Perundingan Melayu (MPM).

** Artikel ini merupakan pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mewakili pandangan sidang pengarang Astro AWANI.