KUALA LUMPUR: Pengumuman Belanjawan oleh Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim yang merangkap Menteri Kewangan pada 18 Oktober lalu boleh dikatakan sebagai antara pengumuman yang sarat memenuhi tuntutan kebajikan para veteran sejak sekian lama.

Agenda memperkasa kebajikan veteran terus diberikan perhatian apabila Menteri Pertahanan, Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin, pada sesi penggulungan perbahasan Rang Undang-Undang (RUU) Perbekalan 2015, mengumumkan pula bahawa penyelarasan pencen sebanyak 15 peratus dalam tempoh 2 tahun turut terpakai dan melibatkan kumpulan veteran yang bersara sebelum 2013.

Pelarasan ini, yang membawa kenaikan sebanyak 8 peratus pada Disember 2024 dan tambahan 7 peratus pada 2026, tentunya memberi kelegaan kepada golongan veteran yang berdepan dengan cabaran ekonomi sedia ada.

Dalam rekod, ini adalah kali pertama tuntutan para veteran ini diselesaikan kerajaan selepas berjuang menuntut pelarasan ini sejak sekian lama.

Sisi terpenting dalam langkah ini adalah ia mencerminkan pendekatan yang pragmatik, khususnya dalam mengimbangi tuntutan kewangan negara dengan keperluan para veteran yang semakin mendesak.

Dengan kenaikan keseluruhan pencen hampir 15 peratus dalam tempoh dua tahun, boleh dikatakan reformasi kebajikan veteran berada pada landasan positif.

Tindakan ini adalah selaras dengan komitmen MINDEF yang 'walk the talk' berhubung keseriusan Menteri Pertahanan yang sering menekankan perihal kebajikan para veteran.

Belanjawan 2025 ini turut menyelesaikan satu lagi isu yang membabitkan perjuangan panjang para veteran sejak 24 tahun yang lalu.

Para veteran yang terkesan dapat menarik nafas lega apabila tuntutan kenaikan Kadar Elaun Layanan Sentiasa yang gagal dipenuhi sejak tahun 2000 dinaikan daripada RM450 kepada RM1,500 bermula 1 Januari 2025.

Sekiranya diteliti, angka ini menjangkaui peningkatan sebanyak 200 peratus. Ia merupakan satu reformasi agresif yang sangat diperlukan dalam mengimbangi peningkatan kos sara hidup kontemporari.

Selain berupaya meringankan beban para veteran terlibat, kenaikan ini juga adalah gambaran penting kepada pengiktirafan kerajaan terhadap individu-individu yang telah mengorbankan sebahagian hidup mereka demi keselamatan negara ini.

Selain peningkatan pencen, inisiatif Bantuan Sara Hidup (BSH) yang dinaikkan daripada RM300 kepada RM500 sebulan untuk veteran berusia 60 tahun ke atas yang tidak berpencen dan berada di bawah Paras Garis Kemiskinan (PGK) menunjukkan kepekaan terhadap cabaran ekonomi yang dihadapi oleh kumpulan ini.

Dalam keadaan ekonomi global yang tidak menentu, tambahan RM200 ini memberi peningkatan sebanyak 67 peratus, iaitu satu jumlah yang setidak-tidaknya membantu meringankan kos hidup.


Usaha Pemerdayaan Kemahiran Veteran

Yang menariknya, sokongan kepada veteran atau pesara tentera tidak lagi sekadar ‘memberi ikan’ tetapi ‘mengajar memancing’.

Ini dapat dilihat dalam usaha Menteri Pertahanan yang menyatakan komitmen terhadap pemerdayaan kerjaya dan penyediaan peluang kerjaya kedua kepada golongan veteran.

Iltizam Menteri Pertahanan ini ditegaskan oleh beliau yang percaya terdapat pembaziran kemahiran dalam kalangan veteran, kerana kepakaran yang diperoleh sepanjang perkhidmatan sering tidak dimanfaatkan selepas persaraan.

Mohamed Khaled menghujahkan semasa sesi Pertanyaan Lisan di Dewan Rakyat baru-baru ini bahawa pelbagai kemahiran teknikal dan pengurusan krisis yang dipelajari dalam perkhidmatan ketenteraan sebenarnya sangat relevan dalam sektor awam dan swasta.

Namun, tanpa platform peralihan yang sistematik, kemahiran dan pengalaman ini hanya bersifat sia-sia.

Untuk mengelakkan perkara seumpama berlaku, negara maju seperti Singapura, mewujudkan Pusat Sumber Peralihan Kerjaya (CTRC) di bawah Kementerian Pertahanan (MINDEF) dalam sistem sokongan yang komprehensif untuk anggota Tentera Bersenjata Singapura (SAF) sebagai persediaan kerjaya kedua.

CTRC menyediakan perkhidmatan seperti khidmat nasihat kerjaya, bengkel persediaan, lawatan industri, dan peluang untuk memperolehi pensijilan melalui kerjasama dengan institusi pengajian tinggi dan badan profesional.

Program ini juga menyediakan dana dan cuti bagi anggota SAF untuk menghadiri kursus, menjalani temuduga, dan mengikuti latihan industri sebagai persediaan bagi kerjaya kedua mereka.

Kita perlu sedar bahawa kebajikan para veteran tidak sekadar melibatkan bantuan kewangan, tetapi apa yang lebih penting adalah kerjaya mereka selepas meninggalkan perkhidmatan ketenteraan.

Agenda yang dilaungkan oleh Menteri Pertahanan ini nampaknya diberikan perhatian apabila Belanjawan 2025 turut menaikkan 25 peratus tempat tambahan daripada 2000 kepada 2500 pengambilan renjer komuniti di bawah Jabatan PERHILITAN dan penekanan untuk memasukkan golongan veteran dalam program PROTEGE-Veteran.

Peluang kerjaya seperti ini  yang merentas bantuan kewangan, pastinya membuka ruang untuk mereka kekal produktif dan dapat menyumbang pengalaman secara bermakna.

Apa yang boleh dirumuskan, usaha ‘reformasi’ kebajikan veteran di Malaysia hari ini dapat diletakkan pada dua kerangka utama.

Pertama, untuk memastikan sokongan kewangan para veteran dapat diterjemahkan secara sistematik dan relevan.

Kedua, cakupan kebajikan veteran adalah melebihi tanggungjawab kewangan dan turut merangkumi aspek perkembangan kerjaya selepas tamat perkhidmatan.

Pendekatan Malaysia meletakkan kebajikan veteran pada landasan yang tepat adalah setanding dengan pendekatan negara-negara maju yang menghargai jasa bakti mereka.

Sebagai seorang yang lahir dari keluarga yang mempunyai veteran tentera, penulis menyambut baik usaha MINDEF ini.

Kesemua langkah ini mencerminkan hala tuju yang lebih jelas dalam usaha memperjuangkan kebajikan veteran. 



* Asriezam Uda merupakan calon Doktor Falsafah (PhD) dalam bidang Perubahan Sosial dan Impak (Sosioeknomi), Universiti Tun Hussein Onn (UTHM).

** Kenyataan di dalam artikel ini adalah pandangan peribadi penulis dan tidak semestinya mencerminkan pandangan sidang pengarang Astro AWANI.