Kementerian Komunikasi menerusi jawapan bertulis Dewan Negara di laman sesawang Parlimen memaklumkan menerusi pelesenan di bawah Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 (Akta 588) itu, penyedia perkhidmatan tertakluk kepada obligasi dan keperluan pematuhan menangani kandungan mudarat bagi melindungi kanak-kanak, perangi gangguan dan buli siber serta mencegah penyebaran maklumat palsu.
"Antara keperluan kelakuan yang perlu dipatuhi pihak penyedia perkhidmatan dalam talian adalah pematuhan mandatori kepada polisi antibuli siber, pelaksanaan sistem pengesahan identiti, polisi moderasi kandungan, penerbitan laporan telus secara berkala dan akauntabiliti di bawah perundangan sedia ada," menurut kementerian itu.
Ia bagi menjawab soalan Senator Datuk Koh Nai Kwong mengenai perincian penguatkuasaan pelesenan ke atas semua platform media sosial di Malaysia.
Menurut Kementerian Komunikasi, langkah itu tidak menghalang kebebasan bersuara seperti yang digariskan dalam Perkara 10 Perlembagaan Persekutuan bahkan selaras dengan amalan terbaik yang sedang dibangunkan dan dilaksanakan negara-negara lain.
Langkah itu memastikan akauntabiliti pihak penyedia platform dalam melindungi pengguna, meningkatkan keselamatan dalam talian dan menangani kandungan yang melanggar undang-undang negara seperti pengantunan seksual kanak-kanak, buli siber, penipuan dan perjudian dalam talian yang dilihat semakin meningkat sejak kebelakangan ini.
Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (MCMC) sebelum ini mengumumkan semua perkhidmatan media sosial dan pesanan internet yang ketika ini mempunyai sekurang-kurangnya lapan juta pengguna berdaftar di Malaysia perlu memohon Lesen Kelas Pemberian Perkhidmatan Aplikasi di bawah Akta 588.
Langkah itu akan berkuat kuasa pada 1 Jan 2025 susulan kerangka kawal selia baharu ke atas perkhidmatan media sosial dan pesanan Internet diperkenal bermula 1 Ogos.
-- BERNAMA