KUALA LUMPUR: Malam Alumni Universiti Malaya 2024 dijangka berlangsung meriah dengan kehadiran lebih 2,000 alumni yang akan kembali ke alma mater mereka pada 17 Disember 2024.

Menurut Timbalan Naib Canselor (Hal Ehwal Pelajar) merangkap Pengerusi Jawatankuasa Pelaksana, Prof. Zamri Radzi, acara ini bukan sekadar pertemuan semula tetapi penghormatan kepada legasi Universiti Malaya.

Katanya, acara ini menggabungkan negarawan, budayawan, usahawan, dan sasterawan dalam kalangan alumni, sekali gus menjadi peluang untuk merapatkan hubungan sambil mengimbau kenangan di universiti.

Selain majlis utama, program ini turut menawarkan sesi 'homecoming' di fakulti dan kolej kediaman, di mana alumni berpeluang melawat semula bilik asrama dan ruang kuliah lama untuk mengenang pengalaman mereka.

"Dan satu pameran galeri alumni akan diadakan. Jadi, kita akan mempamerkan karya-karya alumni serta koleksi dan kenangan yang mungkin apabila dilihat semula oleh alumni, akan mengimbau zaman yang lalu.

“Itu tentunya akan memberikan kenangan untuk semua, termasuk adik-adik yang ada sekarang, sambil terus memberi inspirasi,” katanya dalam program Awani Pagi pada Isnin.

Tambah beliau, program ini turut menampilkan sesi perkongsian pengalaman bersama alumni terkemuka.

Katanya, aktiviti ini dijangka memberi motivasi kepada pelajar baharu dan alumni muda untuk terus mencipta kejayaan dalam bidang masing-masing.

Sebagai sebahagian tradisi Universiti Malaya, Zamri berkata, seni dan sukan akan dihidupkan semula melalui Karnival Sukan Alumni.

Katanya, aktiviti ini bertujuan menyemarakkan semangat kebersamaan serta mengeratkan hubungan antara alumni.

Dilaksanakan di Dewan Tunku Canselor yang bersejarah, Malam Alumni Universiti Malaya 'Jejak Memori' menghimpunkan alumni pelbagai generasi untuk mengenang detik indah di kampus yang telah membentuk perjalanan hidup mereka.