Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, berkata demikian ketika menjawab soalan Ahli Parlimen Bentong, Young Syefura Othman mengenai pendirian Malaysia selaku rakan kongsi dalam BRICS apabila Donald Trump mengancam untuk mengenakan 100 peratus tarif ke atas negara-negara BRICS yang dalam perancangan menggantikan dolar AS.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri itu menjelaskan, peranan dan hala tuju BRICS perlu dilihat secara lebih holistik, dan bukan semata-mata satu platform untuk mengimbangi kuasa ekonomi negara Barat.
"Pada pandangan Malaysia, BRICS adalah satu platform yang semakin penting dalam mengetengahkan pandangan dan pendirian mengenai isu-isu ekonomi serantau melalui dialog, forum atau perbincangan yang lebih strategik secara tidak mengikat (non-binding).
"Pada masa sama, tidak dapat dinafikan terdapat kesalingbergantungan yang tinggi dalam hubungan perdagangan dan ekonomi di antara Malaysia dan AS terutamanya dalam rantaian bekalan semikonduktor yang mana syarikat-syarikat AS adalah pelabur utama di Malaysia dalam sektor ini," katanya.
Tambah beliau, hubungan perdagangan yang saling melengkapi ini dapat dilihat berdasarkan statistik semasa di mana pada tahun 2023, AS merupakan rakan dagang ketiga terbesar Malaysia manakala Malaysia pula merupakan rakan dagang ke-19 terbesar AS.
Mengulas lanjut, katanya sebarang langkah mengenakan tarif 100 peratus hanya akan merugikan kedua-dua belah pihak yang saling bergantung dalam usaha untuk mencegah gangguan dalam rantaian bekalan global.