Bagi menyaksikan kerjasama dengan syarikat minyak dan gas global, Santos Energy, Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz tiba di Dili, Timor Leste jam 4.30 petang tadi.
Kehadiran Tengku Zafrul bersama Pengarah Urusan Kumpulan Weststar, Tan Sri Dr Syed Azman Syed Ibrahim turut diiringi delegasi daripada Weststar.
Mereka disambut oleh Duta Besar Malaysia ke Timor-Leste, Datuk Amarjit Singh Sarjit Singh dan Timbalan Perdana Menteri Timor Leste, Francisco Kalbuadi Lay.
Tengku Zafrul dan delegasi kemudian dibawa ke Rumah Malaysia, di sini, bagi sesi minum petang selain mendapatkan perincian lanjut mengenai kontrak ini.
Kemuncak acara yang dijadual bermula jam 10 pagi waktu tempatan pada Jumaat akan dihadiri pihak berkepentingan serta beberapa menteri Timor Leste.
Ini merupakan kerjasama tiga hala membabitkan Malaysia, Timor Leste dan Santos Energy, sebuah syarikat dari Australia yang menonjolkan kepentingan Weststar dalam pembangunan ekonomi serantau.
Sebagai sebahagian daripada perjanjian ini, Weststar GAP akan mengendalikan dua helikopter Leonardo AW189 untuk operasi pemindahan kru membabitkan Dili dan Darwin, Australia.
Perkhidmatan ini juga akan beroperasi di bawah pematuhan penuh dengan peraturan Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM).
Segala pertumbuhan termasuk potensi mengembangkan operasi sehingga ke lapangan Greater Sunrise bakal terjawab dalam perincian kontrak esok.