Hasrat itu disampaikan Pengarah Urusannya, Sheikh Hamed Zayed Al Nahyan dalam pertemuan tertutup bersama Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim pada Isnin.
Menteri Pelaburan, Perdagangan dan Industri, Datuk Seri Tengku Zafrul Tengku Abdul Aziz yang turut hadir dalam mesyuarat itu berkata komitmen berkenaan turut melibatkan pelaburan dalam transformasi Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB).
“Di dalam perbincangan tersebut juga, ADIA yang telah sekian lama melabur di Malaysia memberi komitmen untuk terus mempertingkat dan memberi tumpuan utama dalam mencipta nilai yang lebih besar untuk memastikan kejayaan pelaburan-pelaburan di Malaysia di pelbagai sektor termasuk dalam transformasi MAHB,” katanya.
Beliau berkata demikian melalui satu hantaran di media sosialnya hari ini.
Tambah Tengku Zafrul, komitmen ADIA terserlah melalui pelaburan yang selaras dengan Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030) dan rangka kerja Ekonomi Madani.
Menurut beliau, antara sumbangan penting ADIA termasuk kerjasama dengan Global Infrastructure Partners (GIP) dalam usaha penswastaan Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB), selain pelaburan dalam projek infrastruktur utama yang menyokong pertumbuhan mampan negara.
"Ini jelas menunjukkan keyakinan kukuh terhadap dasar-dasar Kerajaan yang mesra pelabur yang akan memanfaatkan rakyat dalam jangka masa panjang.
“Melalui hubungan strategik ini, kami terus memastikan Malaysia kekal sebagai destinasi utama untuk pelaburan berkualiti tinggi, sekaligus memperkukuh daya saing ekonomi, mencipta peluang pekerjaan baharu, dan merancakkan pembangunan ekonomi negara,” ujarnya lagi.
ADIA merupakan salah satu dana kekayaan terbesar dunia dengan aset dianggarkan melebihi AS$1 trilion.
Pertemuan di Abu Dhabi ini membuka ruang untuk memperkukuh kerjasama pelaburan strategik antara Malaysia dan UAE.
Perdana Menteri yang kini mengadakan lawatan tiga hari ke UAE, dijadualkan bertemu rakan sejawatnya Sheikh Mohammed bin Rashid Al Maktoum di Dubai pada petang ini.