BERA: Perdana Menteri Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob meminta warga pendidik agar segera mendapatkan vaksin COVID-19 demi perlindungan diri dan pelajar sekolah.

Ismail Sabri berkata setakat ini walaupun belum menjadi kewajiban bagi guru untuk mendapatkan vaksin, tetapi mereka berisiko meningkatkan jangkitan kerana bakal bersemuka dengan pelajar ketika sesi pengajaran dan pembelajaran (PdP) di dalam kelas kelak.

"Misalnya, guru sekolah rendah yang belum dapat vaksin, ia akan merisikokan murid mereka termasuk rakan-rakan guru, sebab itu Kementerian Pendidikan tegas dalam aspek vaksin ini.

"Kalau dengan kehadiran kita yang tidak divaksin ini bahayakan orang lain, maka kita sepatutnya ambil tanggungjawab lindungi rakan-rakan yang sama mengajar di sekolah, lebih penting kesihatan murid-murid," katanya.

Beliau berkata demikian ketika berucap pada Majlis Penyampaian Peranti Komputer Program Cerdik Kementerian Pendidikan Malaysia kepada pelajar Parlimen Bera di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Bera Bandar 32 di sini hari ini, yang turut dihadiri Pengarah Pendidikan Pahang Mohammad Rosli Abdul Rahman.

Menurut Ismail Sabri, sekiranya belum mendapat vaksinasi, golongan ini tidak akan dapat menikmati keistimewaan yang diberikan kepada individu yang sudah mendapatkan vaksin, misalnya rentas negeri.

Justeru, beliau meminta warga pendidik dan individu lain yang belum mendapatkan suntikan vaksin, agar segera berbuat demikian.

Menyentuh mengenai bantuan peranti itu, Ismail Sabri yang juga Ahli Parlimen Bera berkata beliau mengharapkan ia dapat membantu meningkatkan mutu pelajaran pelajar sekali gus membaiki keputusan peperiksaan mereka.

“Kita harap mereka gunakan peranti ini dengan betul dan manfaatkan sepenuhnya, misalnya menggunakannya mencari bahan tambahan untuk belajar...bila dah ada peranti, capaian internet juga penting, dan saya sudah minta pihak terlibat naik taraf (internet) di kawasan-kawasan yang mempunyai capaian internet kurang memuaskan,” katanya.

Sementara itu, Mohammad Rosli berkata kadar vaksinasi keseluruhan guru di Pahang mencatatkan 98 peratus dan ia satu perkembangan yang baik, manakala 88 peratus remaja sekolah berumur 12 hingga 17 tahun juga telah mendapatkan vaksin.

Di samping situasi COVID-19 yang semakin terkawal, beliau berkata terdapat 167 orang murid di Pahang terjejas emosi, jiwa, perasaan dan kehidupan selepas kematian ibu dan bapa mereka akibat wabak COVID-19.

Selain itu, Rosli berkata sebanyak 9,429 atau 92 peratus pelajar daripada 11,052 yang disasarkan menerima peranti itu telah menerima peranti masing-masing, dan bakinya akan diagihkan secara berperingkat kepada keseluruhan 132 sekolah terlibat.

Bagi Pelajar SMK Bera Bandar 32, M. Kushla Kumari,15, kepayahan beliau dan dua adik beradiknya yang terpaksa berkongsi telefon pintar selama ini bagi mengikuti pengajaran dan pembelajaran di rumah (PdPR), telah berakhir.

“Sebelum ini saya terpaksa bergilir-gilir dengan abang dan adik perempuan berkongsi telefon pintar ibu untuk mengikuti pembelajaran secara dalam talian atau buat kerja sekolah, dengan bantuan peranti ini ia memudahkan kami adik beradik selepas ini untuk belajar,” katanya yang ditemani ibunya R. Kasthuri, 42.

Nor Afiqah Shafinaz Abdullah,15, pula berkata bantuan berkenaan sudah tentu menggembirakannya kerana dapat mengikuti PdPR dengan lebih selesa.

“Selain PdPR, peranti ini diperlukan untuk mencari bahan rujukan tambahan bagi ulang kaji dan saya amat hargai bantuan ini dan akan manfaatkan sebaiknya,” katanya yang menetap di Felda Sebertak di sini.

Pada majlis yang berlangsung secara sederhana dengan pematuhan prosedur operasi standard (SOP) itu, seramai lima pelajar telah secara simbolik menerima peranti masing-masing.

-- BERNAMA