IPOH: Mayat lelaki warga tempatan ditemui dalam keadan terbaring di tepi sebuah rumah di Kampung Cik Zainal, Chemor di sini pagi semalam.

Mayat mangsa yang berusia lingkungan 40 tahun itu disedari jirannya pada jam 11.30 pagi dan didapati mangsa tidak sedarkan diri.

Ketua Polis Perak, Datuk Mohd Yusri Hassan Basri berkata, pemeriksaan awal pakar forensik dari Hospital Raja Permaisuri Bainun (HRPB) Ipoh mendapati, anggaran masa kematian mangsa kira-kira 12 jam.

"Pada 15 November sekitar jam 11.50 pagi, pihak polis menerima maklumat daripada orang awam bahawa seorang lelaki warga tempatan didapati tidak sedarkan diri dan disyaki meninggal dunia.

"Mangsa ditemui di sebelah sebuah rumah di Kampung Cik Zainal, Chemor.

"Kes ini diklasifikasikan sebagai mati mengejut (SDR) sementara menunggu keputusan bedah siasat yang djadualkan hari ini," katanya dalam kenyataan yang dikeluarkan pada Rabu.

Sehubungan itu katanya, polis meminta orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat mengenai kes itu untuk berhubung dengan Pegawai Penyiasat Kanan, Bahagian Siasatan Jenayah, Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Ipoh ASP Fadli Ahmad, di talian 019-2500019 untuk membantu siasatan.