PORTICELLO: Empat mayat ditemui dari bangkai kapal mewah milik isteri taikun teknologi Britain, Mike Lynch, pada Rabu.

Pasukan bomba Itali berkata, mereka sedang meneruskan pencarian dua lagi orang yang masih hilang.

Mayat dibawa ke darat menggunakan bot penyelamat sebelum dibawa ke hospital berdekatan untuk proses pengecaman.

Pihak berkuasa tempatan enggan memberikan sebarang maklumat berkenaan mayat yang ditemui.

Daily Telegraph Britain melaporkan, dua daripada yang maut ialah Lynch dan anak perempuannya yang berusia 18 tahun.

Mayat yang telah dikenal pasti setakat ini ialah jurubank Morgan Stanley, Jonathan Bloomer dan peguam, Chris Morvillo.

Isteri Bloomer, Judy dan isteri Morvillo, Neda, juga hilang apabila kapal yang membawa 22 individu itu dilanda ribut sebelum karam pada awal pagi Isnin lalu.

Lynch, 59, adalah salah seorang usahawan teknologi terkenal di UK dan telah menjemput rakan-rakan untuk menyertainya di atas kapal layar mewah itu untuk meraikan pembebasannya daripada dakwaan penipuan di Amerika Syarikat.

Kapal Bayesian sepanjang 56 meter telah berlabuh di pelabuhan Sicily, Porticello apabila ribut melanda dan saksi berkata ia hilang di bawah ombak dalam beberapa minit.

Keadaan itu jadi persoalan kepada pakar marin tentera laut yang mengatakan kapal sedemikian dianggap telah dilengkapkan ciri keselamatan kelas atas dan sepatutnya mampu menahan cuaca sedemikian.

Mangsa dipercayai terperangkap di dalam kabin yang sukar untuk diakses lantaran penyelam hanya boleh berada di dalam kapal sekitar 8 hingga 10 minit sebelum terpaksa naik semula.

15 orang termasuk isteri Lynch berjaya menyelamatkan diri dari bot sebelum ia terbalik.

Manakala mayat chef kapal itu, Recaldo Thomas, warga Kanada-Antiguan, ditemui berhampiran lokasi kejadian beberapa jam selepas nahas itu.

Selain pasukan penyelam, pengawal pantai telah mengerahkan dron kawalan jauh untuk mengimbas dasar laut dan mengambil gambar serta video dalam air.