Ketua Polis Perak, Datuk Azizi Mat Aris berkata, ketika ini usaha mengesan suspek, seorang wanita warga Indonesia yang juga penyewa terakhir rumah berkenaan masih dijalankan.
Menurutnya, polis juga masih belum pasti mengenai keberadaan wanita itu sama ada masih di Malaysia atau sudah pulang ke negara asalnya.
"Kita tengah jejaki suspek dan siasatan masih lagi diteruskan.
"Kita akan bekerjasama dengan agensi-agensi lain seperti Imigresen (Jabatan Imigresen Malaysia) selain menggunakan semua (kekuatan) risikan kita.
"Mungkin kalau kalau kita kenal pasti subjek itu sudah balik (ke negara asal), maka kita akan menggunakan saluran diplomatik melalui INTERPOL," katanya dalam sidang akhbar selepas majlis Perhimpunan Bulanan Ketua Polis Perak bulan September 2024 di Ibu Pejabat Polis Kontinjen (IPK) Perak, di sini, hari ini.
Sebelum ini, Ketua Polis Daerah Ipoh, Asisten Komisioner Abang Zainal Abidin Abang Ahmad ketika berkata, hasil bedah siasat mendapati punca kematian bagi itu tidak dapat dipastikan berikutan keadaan pereputan mayat.
Menurut beliau, pihaknya juga tidak dapat dipastikan sama ada bayi itu meninggal dunia selepas dilahirkan atau sebaliknya.
Dalam kenyataan awalnya, Abang Zainal Abidin berkata, polis sedang mengesan seorang wanita warga Indonesia yang pernah menyewa di rumah tempat penemuan mayat bayi di bawah lantai simen, di Taman Sri Rokam, Jalan Pasar, di sini.
Katanya, berdasarkan penerangan pemilik rumah berkenaan, rumah itu disewakan sejak tiga tahun lepas kepada seorang wanita warga Indonesia dengan bayaran RM400 sebulan namun wanita itu telah melarikan diri sejak sebulan lalu.