Ringkasan AI
- Seorang penduduk di Taman Semarak, Sungai Petani, menemui seorang bayi perempuan yang baru dilahirkan di dalam beg berhampiran bangsal kayu.
- Bayi tersebut tidak berbalut dan masih bertali pusat, dengan keadaan muka bengkak akibat gigitan nyamuk.
- Bayi itu dibawa ke hospital untuk pemeriksaan lanjut dengan bantuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM).
Yeoh Yit Chen, 40, berkata, kejadian itu disedari kira-kira jam 11 pagi Ahad selepas terdengar suara sayup seperti tangisan, menyebabkan beliau bergegas memeriksa keadaan sekeliling.
"Ketika itu saya sedang memasak di dapur, tiba-tiba terdengar suara tangisan dari arah depan rumah.
"Saya panggil jiran untuk melihat. Apabila memeriksa beg itu, saya terkejut melihat ada bayi di dalamnya yang tidak berbalut serta masih bertali pusat. Sebaik sahaja membuka beg itu, bayi tersebut pun berhenti menangis," katanya.
Yit Chen kemudian bergegas pulang ke rumah untuk mencari kain bagi melindungi bayi berkenaan.
Sementara itu, Pengerusi Persatuan Ibu Bapa dan Guru Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Pasir, Khairul Anuar Zainol berkata, keadaan muka bayi tersebut sudah bengkak, kemungkinan akibat gigitan nyamuk.
"Sedih melihat keadaannya, nyamuk menggigit bahagian mata sehingga bengkak. Bayi itu tidak dibalut dengan apa-apa, hanya diletakkan dalam beg dengan zip dibuka sedikit.
"Ada yang memberitahu sekitar jam 6 pagi sudah terdengar bunyi, tetapi tidak pasti bunyi apa. Kemudian, apabila mendengar lagi, mereka pergi melihat dan terkejut apabila mendapati ada bayi dalam beg itu," katanya.
Beliau yang juga Timbalan Pengerusi Lembaga Pelawat Hospital Sultan Abdul Halim (HSAH) berkata, lokasi kejadian yang terletak di laluan awam dan hanya kira-kira 500 meter dari SK Sungai Pasir menyebabkan orang ramai mula memenuhi kawasan itu bagi melihat lebih dekat penemuan bayi tersebut.
"Sayu melihat keadaan bayi itu. Tiada apa-apa dalam beg, hanya ada seluar yang mungkin digunakan sebagai alas bayi. Dia tidak dibalut dengan apa-apa, malah ada kesan darah sedikit pada tali pusat," katanya.
Bayi itu kemudian dibawa ke hospital menggunakan ambulans dengan bantuan anggota Polis Diraja Malaysia (PDRM) yang berada di lokasi kejadian. -Sinar Harian
