Ketua Polis Daerah Seberang Perai Utara (SPU) ACP Anuar Abd Rahman berkata laporan bedah siasat yang dijalankan di Hospital Seberang Jaya (HSJ) di sini semalam mengesahkan punca kematian adalah akibat "Ligature Strangulation" atau jerutan pada leher.
Dalam kenyataan kepada media malam tadi, beliau berkata mayat pemuda itu ditemukan pada pukul 2 petang dalam keadaan terbaring dengan leher serta badannya terjerut oleh tali pinggang keledar di bahagian tempat duduk belakang kereta.
Beliau berkata berdasarkan siasatan, pemuda itu didapati baru datang ke sini dari Kuala Lumpur, dan bekerja di sebuah kedai cuci kereta, tiga hari sebelum ditemukan meninggal dunia.
Anuar berkata polis masih meneruskan siasatan yang diklasifikasikan sebagai kes kematian mengejut.
-- BERNAMA