SHAH ALAM: Ramai kalangan rakyat negara ini yang terpaksa mengambil keputusan untuk bercerai apabila pasangan warga asing kembali ke negara asal mereka.

Setiausaha Agung Persatuan Peguam Syarie Malaysia (PGSM), Suriani Awaludin berkata, perkahwinan dengan warga asing agak berisiko memandangkan banyak prosedur yang perlu dipatuhi, selain ada yang menjadikannya jalan pintas untuk mendapatkan keistimewaan sepanjang berada di negara ini.

“Pengalaman saya sendiri, paling banyak kes yang dikendalikan ialah pernikahan dengan warga Indonesia. Kemudian, perempuan Malaysia dengan Pakistan dan lelaki negara ini dengan warga Thailand.

“Kebanyakan yang saya lihat, perkahwinan itu tidak berterusan kerana warga asing ini akan pulang ke negara asal dan tidak kembali semula. Biasanya ada isu daripada segi nak tinggal lama di sini. Isu lain, mereka perlu sentiasa perbaharui visa,” katanya.

Tambahnya, masalah dokumentasi biasanya dialami oleh lelaki warga asing yang berkahwin dengan wanita tempatan sementara perkahwinan melibatkan wanita warga asing pula lebih mudah untuk mendapatkan pengesahan di Malaysia.

Selain itu katanya, ramai wanita di Malaysia menjadi mangsa disebabkan perkahwinan sindiket.

“Biasanya dalam kalangan warga Pakistan, mereka ada cara sendiri, sebab itu mereka ada imam yang tidak disahkan oleh kerajaan kita.

“Jadi, akan ada masalah kalau wanita kita berkahwin dengan cara tidak betul atau melalui sindiket.

“Bila terjadi, perkahwinan itu tak boleh disahkan dan apabila berlaku isu kecurangan, nafkah dan sebagainya, kita tak boleh ambil tindakan,” jelasnya.

Bagaimanapun, beliau mengakui bahawa kesedaran untuk mendaftarkan pernikahan dengan warga asing semakin meningkat.

Suriani turut menasihatkan rakyat negara ini yang berhasrat untuk berkahwin dengan warga asing untuk menyemak status bakal pasangan, terutamanya jika ada masalah undang-undang seperti kemasukan ke Malaysia secara sah atau sebaliknya.

Keduanya, memastikan rukun dan syarat nikah itu dipenuhi.

“Selain itu, jika pernikahan perlu dilakukan di luar negara, sediakan dokumen yang lengkap mengikut negara warga asing tersebut. Jadi, bila datang ke Malaysia, tak akan ada masalah dokumentasi dan pendaftaran pernikahan.

“Jika selepas ini warga asing itu nak mohon kerakyatan sekalipun, tak akan ada isu sebab pernikahan dan keadaan perkahwinan mereka tiada masalah daripada segi undang-undang. Justeru, ada ruang dan peluang untuk dapatkan kerakyatan,” jelasnya. - Sinar Harian