Teks Khutbah Jumaat disediakan Jabatan Agama Islam Selangor (JAIS) hari ini menyebut bagaimana sebagai hamba-Nya, kedua-dua suami dan isteri harus sedar bahawa tidak ada manusia yang sempurna dan terlepas daripada melakukan kesilapan.
"Seorang suami di dalam sesebuah keluarga seharusnya menjadi pelengkap atas kelemahan dan kekurangan isteri dan begitulah juga sebaliknya buat para isteri. Ingatlah, di sebalik kekurangan pasangan kita terdapat kelebihan yang Allah SWT kurniakan tanpa kita sedari.
"Oleh itu, amatlah tidak berpatutan jika ditularkan melalui media sosial tentang keburukan, kekurangan dan keaiban pasangan kerana ini jelas menyalahi hukum syarak dan akhlak Islam," katanya.
Teks khutbah itu mengingatkan penularan berita yang meluas mengenai perceraian selebriti boleh memberi kesan negatif kepada pasangan yang terbabit, selain memperlihatkan media tidak menghormati privasi dan kehidupan peribadi selebriti terbabit.
"Perceraian bukanlah sesuatu yang harus digembar gemburkan kerana ia merupakan satu pengalaman yang sangat peribadi, pahit dan menyakitkan. Media seharusnya berperanan dalam membina masyarakat yang positif dan sihat, bukan memburukkan keadaan.
"Media seharusnya menyampaikan berita yang berimbang dan tidak hanya membangkitkan kontroversi. Platform media adalah untuk mendidik masyarakat tentang pentingnya menjaga hubungan yang sihat dan cara menangani perpisahan dengan baik," katanya lagi.
Seterusnya teks itu itu menyebut bagaimana perkahwinan yang dibina atas niat menjaga kehormatan manusia, kesucian zuriat, keturunan yang mulia dan mewujudkan kasih sayang dan tanggungjawab, boleh tergugat kerana beberapa faktor antaranya masalah komunikasi, pengabaian nafkah, pengabaian perasaan pasangan, pengabaian agama serta wujudnya pihak ketiga.
"Bagi mengukuhkan lagi ikatan perkahwinan, para suami hendaklah cakna dengan kewajipan yang perlu dilunaskan. Pemberian nafkah oleh suami kepada keluarganya adalah wajib.
"Keengganan para suami untuk menunaikan tanggungjawabnya dalam memberikan nafkah merupakan satu dosa. Pemberian nafkah ini juga diumpamakan sebagai sedekah yang wajib yang diberi pahala oleh Allah SWT," ujarnya.
Justeru, pasangan hendaklah berusaha untuk menyesuaikan diri dan meraikan perbezaan, dengan mewujudkan suasana berkomunikasi secara harmoni serta perbincangan secara baik untuk menyelesaikan segala permasalahan yang timbul.
"Dapatkan nasihat daripada orang yang lebih berpengalaman seperti pegawai khidmat nasihat di Pejabat Agama sekiranya timbul kekusutan. Buanglah sikap ego, pentingkan diri dan sikap suka menyalahkan di antara satu sama lain.
"Di samping itu, elakkan diri daripada menggunakan kata-kata kesat sesama pasangan, amalkan menegur secara berhemah dan jagalah perasaan sesama pasangan," ujarnya.