ROM: Legenda tenis Jerman, Boris Becker telah bernikah dengan teman lamanya, Lilian de Carvalho Monteiro dalam satu majlis di bandar pantai Portofino, Itali pada Sabtu, kata peguamnya kepada agensi berita Jerman dpa pada Ahad.

Foto perkahwinan yang diterbitkan oleh Vogue menunjukkan pengantin perempuan mengenakan gaun putih dengan potongan bahu terbuka dan vel, manakala pengantin lelaki memakai jaket sut berwarna krim.

Apabila melihat lokasi itu pada Februari, Monteiro berkata dia "segera mempunyai gambaran" tentang "bagaimana perkahwinan kami akan kelihatan," dalam temu bual dengan Vogue yang diadakan pada Khamis.

Becker, 56, dan Monteiro, 34, seorang penganalisis risiko yang berasal dari negara pulau Afrika, Sao Tome dan Principe, telah menjadi pasangan selama beberapa tahun.

Monteiro tetap setia di sisi Becker semasa perbicaraannya di London dan dijatuhkan hukuman penjara selepas itu.

Selepas menghadapi kesulitan kewangan, bekas bintang tenis itu didapati menyembunyikan aset bernilai jutaan paun sterling ketika menyerahkan kepada pentadbir insolvensi.

Becker dijatuhkan hukuman penjara dua setengah tahun dan menjalaninya selama beberapa bulan di London, tetapi dibebaskan lebih awal pada Disember 2022 dan dihantar pulang ke Jerman. Beliau juga telah dibebaskan daripada status muflisnya sejak April lepas.

Ini merupakan perkahwinan ketiga bagi Juara Wimbledon tiga kali dari Leimen, dekat Heidelberg, yang kini tinggal di Milan, Itali, selepas terpaksa meninggalkan kediaman angkatnya di London.

--BERNAMA-dpa





TAG: boris becker, lilian de carvalho monteiro, perkahwinan