KUALA LUMPUR: Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur di sini pada Rabu mendapati, perkahwinan antara bekas Timbalan Ketua Polis Negara, Tan Sri Mohd Bakri Mohd Zinin dengan bekas calon kerusi Parlimen Batu bagi Pilihan Raya Umum ke-15 (PRU15), Cleopatra tidak pernah wujud.

Peguam syarie, Datuk Akberdin Abdul Kader yang mewakili Cleopatra atau nama sebenarnya Nur Fathiah Syazwana Shaharuddin, 30, berkata, mahkamah memutuskan demikian selepas menilai semua affidavit yang difailkan kedua-dua pihak.

Beliau berkata, memandangkan anak guamnya selaku pemohon sementara Mohd Bakri (responden) mengesahkan pernikahan itu tidak wujud maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk membuktikan kesahihan sijil nikah dari Thailand itu.

“Hakim Syarie, Wan Mohd Najib Wan Hamat tidak menjurus kepada perkara berkenaan (kesahihan sijil pernikahan) dan menyerahkan kepada polis atau Jabatan Agama Islam Wilayah Persekutuan (Jawi) untuk mengambil tindakan lanjut.

“Mahkamah hanya fokus sama ada pernikahan ini wujud atau tidak,” katanya yang turut hadir bersama seorang lagi peguam syarie, Puteri Ummi Kartini Abd Latiff.

Selain itu, beliau berkata, kedua-dua pihak juga memaklumkan tidak pernah ke negara jiran untuk mendirikan rumah tangga.

Sementara itu, peguam syarie, Fakhrul Azman Abu Hassan yang mewakili Mohd Bakri, 70, turut mengesahkan perkara sama, bahawa tiada pernikahan berlaku antara mereka berdua.

Mohd Bakri hadir ke Mahkamah Rendah Syariah Wilayah Persekutuan Kuala Lumpur bagi prosiding pengesahahan perkahwinan pada Rabu. - Foto Sinar Harian

Menurutnya, memandangkan pemohon dan anak guamnya mengakui tiada pernikahan, maka mahkamah tidak perlu menentukan sama ada perkahwinan mereka sah atau sebaliknya.

“Berdasarkan bidang kuasa perundangan, sekiranya tidak wujud pernikahan, maka mahkamah tiada bidang kuasa untuk mendengar permohonan (Nur Fathiah).

“Mahkamah tidak perlu membuat pengesahan pernikahan yang tidak wujud, maka Yang Arif Syarie menolak tuntutan pemohon berkenaan,” katanya.

Sementara itu, Nur Fathiah menyatakan kesyukuran di atas keputusan mahkamah itu sekali gus mengesahkan status dirinya yang tidak pernah berkahwin dengan Mohd Bakri.

“Saya harap pihak berkuasa menyiasat kewujudan sijil nikah palsu itu dan saya telah membuat laporan polis berhubung perkara terbabit,” katanya, ketika ditemui di luar mahkamah.

Sebelum itu, Nur Fathiah telah memuat naik gambar dirinya dan Bakri di Instagram ketika mereka menghadiri konsert 'Senandung Nusantara Ethnochestra oleh Erwin Gutawa dan Jay Subyakto'.

Perkara tersebut menimbulkan tanda tanya dalam kalangan netizen malah gambar tersebut turut menerima banyak ucapan tahniah daripada orang ramai.

Tidak lama kemudian, bekas ahli politik ini terkejut apabila mendakwa telah menerima sijil nikah dari negara jiran, kononnya beliau telah melangsungkan perkahwinan dengan Mohd Bakri.

Susulan itu, beliau memfailkan permohonan di Mahkamah Rendah Syariah di sini bagi mendapatkan pengesahan status pernikahan dan sijil nikah yang diperoleh. -- Sinar Harian