ANKARA: Angka kematian tragedi kapal layar karam di Itali pada Isnin meningkat kepada enam selepas anggota penyelamat menemukan lima lagi mangsa pada Rabu, Agensi Andolu memetik laporan media tempatan.

Robot pencarian bawah air pasukan pengawal pantai Itali dan penyelam dari jabatan bomba Itali menemukan dua mayat iaitu usahawan teknologi yang juga pemilik kapal layar itu, Mike Lynch, 59, serta anak perempuannya yang berusia 18 tahun.

Terdahulu pada hari sama, pasukan penyelamat menemukan tiga lagi mayat.

Proses pengecaman dan bedah siasat akan dijalankan, manakala pencarian seorang lagi mangsa yang hilang masih diteruskan, menurut laporan media tempatan

Kapal layar mewah sepanjang 56 meter (184 kaki) dikenali sebagai "Bayesian" terbalik pada pagi Isnin akibat hujan lebat dan ribut, kira-kira 20 kilometer (12.4 batu) di timur Palermo di selatan Itali.

Dalam kejadian itu, 15 orang berjaya diselamatkan termasuk isteri Lynch, Angela Bacares, manakala enam dilaporkan hilang.

Antara yang terkorban adalah cef kapal layar, Recaldo Thomas, yang mayatnya ditemui beberapa jam selepas kapal itu karam.

Pada Rabu, media tempatan melaporkan bahawa dua lagi mayat ditemui, namun identiti mereka belum disahkan.

Individu di atas kapal layar itu berasal dari pelbagai negara, termasuk United Kingdom, New Zealand, Sri Lanka, Perancis, Ireland, Amerika Syarikat, dan Kanada.

-- BERNAMA