KANGAR: Raja Muda Perlis, Tuanku Syed Faizuddin Putra Jamalullail menyeru seluruh lapisan masyarakat supaya memainkan peranan masing-masing dalam memastikan kemerdekaan negara terus dipelihara demi kesejahteraan negara.

Baginda bertitah perbezaan budaya, agama dan bangsa dalam masyarakat berbilang kaum harus dijadikan sebagai sumber kekuatan negara dalam membina sebuah negara yang mampan.

"Selain itu, pemimpin dan anggota perkhidmatan awam perlu terus berkhidmat dengan rajin, teliti, berintegriti, beramanah dan bertanggungjawab bagi memastikan sosioekonomi rakyat terus dilindungi dan dibantu," titah baginda pada majlis perbarisan dan perarakan sambutan Hari Kebangsaan 2023 peringkat negeri Perlis di Kompleks Dewan Undangan Negeri (DUN) Perlis, malam tadi.

Turut berangkat Raja Puan Muda Perlis, Tuanku Dr Hajah Lailatul Shahreen Akashah Khalil

Hadir sama memeriahkan sambutan Menteri Besar, Mohd Shukri Ramli dan barisan exco kerajaan negeri.

Tuanku Syed Faizzuddin bertitah sokongan berterusan rakyat penting bagi mendukung usaha-usaha dan dasar kerajaan agar segala program yang digubal berdaya maju dan dapat dilaksanakan dan dinikmati oleh semua lapisan rakyat.

"Kita perlukan rakyat yang berpendidikan, berpengetahuan, proaktif, berinovatif, kompetitif, berkemahiran dan sentiasa berfikir untuk penambahbaikan bagi memajukan ekonomi negara," titah baginda.

Baginda bertitah generasi muda yang terdiri daripada golongan pelajar dan belia mestilah sama-sama dipimpin untuk mengenal dan menghayati ajaran-ajaran agama yang benar lagi sahih.

Titah baginda, selain itu adab dan akhlak adalah nilai kehidupan manusia yang tinggi tatasusila dan tamadun keinsanan dan pergaulan antara manusia hendaklah berteraskan ketinggian adab dan kehalusan akhlak.

Tuanku Syed Faizzuddin bertitah lima prinsip Rukun Negara hendaklah sentiasa dihayati dan disemat dalam diri setiap rakyat.

Mengakhiri titah, baginda meminta agar semua pihak bersama membantu kerajaan negeri bagi menjayakan Tahun Melawat Perlis 2024-2025.

"Beta percaya bahawa rakyat negeri ini kaya dengan sifat hospitaliti, berhemah dan amat prihatin terhadap isu kebersihan alam sekitar, sekali gus mencerminkan tema "Perlis Damai dan Menawan.

"Gunalah peluang ini untuk menaikkan lagi imej negeri Perlis sebagai salah sebuah destinasi pelancongan utama dan terbaharu di Malaysia," titah baginda.

-- BERNAMA