Seorang warga Amerika Syarikat (AS) yang mengembara ke Malaysia dikenali sebagai Mr. T menggubah lagu berjudul A Merdeka Song dengan gaya country AS yang dimuat naik melalui akaun TikTok @random.4.you.
"Rice field golden under a blazing sun, Dances in the village children having fun, From Borneo jungles to the city's bright lights, Merdeka flame burning so bright.
"In the harmony of unity in every face we see, this bond of love binds you and me. We'll stand together, hand in hand, side by side in this beautiful land. Oh Merdeka let your freedom ring".
Itu sebahagian daripada lirik lagu ciptaan Mr. T bagi menggambarkan semangat dalam kalangan rakyat di negara ini menyambut Hari Kebangsaan tanpa mengira asal usul mereka.
Video lagu berkenaan menampilkan beberapa bangunan terkenal di Malaysia, sama ada dalam bentuk gambar atau grafik, seperti Pusat Konvensyen Kuala Lumpur (KLCC) dan bangunan Sultan Abdul Samad di ibu negara dan Masjid Sultan Salahuddin Abdul Aziz Shah di Selangor.
Mr. T juga menyatakan rasa cintanya kepada Malaysia melalui lirik seperti Malaysia oh how we love and cheer, In our hearts you're forever near, dan Loving this land till the day I die.
Sementara itu, pencipta kandungan dari Afrika Selatan, Kierran Allen berkongsi persembahan bunga api melalui laman Instagram miliknya dengan menyatakan dia berasa bertuah berada di bandar ini pada hari istimewa.
"Selamat Hari Kebangsaan, Malaysia! Hari ini (31 Ogos) memperingati kekuatan dan perpaduan yang membawa kepada kemerdekaan negara pada 31 Ogos 1957. Semoga hari ini mengingatkan anda tentang warisan bersama dan memberi inspirasi kepada anda untuk terus berusaha mencapai keamanan, kemakmuran dan keharmonian. Merdeka!" tulisnya dalam media sosial itu.
Allen turut berkongsikan video yang diambilnya semasa meneroka kawasan tarikan pelancongan di Kuala Lumpur antaranya kuil Batu Caves dan kuil Thean Hou, serta video dia menguji kemahiran tawar-menawar di Jalan Petaling atau dikenali sebagai Chinatown Malaysia.
Turut dikongsikan, video dia mengunjungi pasar malam dan berjalan dalam hujan ketika berada di negara ini selama seminggu.
"Berjalan dalam hujan tidak bagus ... (tetapi) sebenarnya keadaan itu menyejukkan badan anda," katanya menggambarkan keadaan cuaca di Malaysia yang panas pada sebelah pagi manakala hujan pada waktu petang.
Selain itu, pencipta kandungan TikTok dari Indonesia @Kang Doel turut menghasilkan lagu khas bertajuk Senyum Malaysia yang mendapat 10,500 tontonan dan 654 tanda suka menerusi aplikasi berkenaan.
"Senyummu Malaysia serlahkan cintamu, Bagai tetesan embun dari Syurgawi. Takkan ku lupakan kenangan semalam, keindahan dari wajah berseri," antara bait lirik lagu itu.
Karya Kang Doel mendapat reaksi positif rakyat Malaysia yang kagum dan berterima kasih kepadanya kerana menghargai keindahan negara sehingga menghasilkan karya itu pada Bulan Kebangsaan.
"Lagu yang baik hasil daripada hati yang ikhlas. Kita viral (tular) kan lagi (lagu) ini," kata pengguna TikTok @bosiskm.
"Terima kasih Kang, dari warga (rakyat) Malaysia. Ternyata kamu orang yang kreatif, berbakat dan berpadangan jauh," kata @Matdromey.
-- BERNAMA