Para kadet itu yang menghayati semangat Merdeka berkongsi pandangan mereka mengenai kepentingan hari bersejarah ini dengan BERNAMA.
Mohamad Khairel Adha Mohd Khairee, kadet dari Kelas 2025, menzahirkan rasa hormat yang mendalam terhadap pengorbanan yang dilakukan oleh para pejuang negara, yang telah membuka jalan kepada kebebasan yang dinikmati hari ini.
"Merdeka sendiri bermaksud bebas. Kebebasan yang kita nikmati sekarang adalah hasil daripada pengorbanan para pejuang terdahulu. Pengorbanan yang mereka lakukan untuk memastikan negara kita selamat memberi inspirasi kepada saya untuk menjadi seorang tentera kerana saya mahu berjuang untuk negara saya dan melakukan segala yang termampu untuk membanggakan negara saya.
"Saya percaya patriotisme saya akan membuat orang di sekeliling saya sedar betapa hebat dan uniknya negara saya," kata Khairel yang kini berada dalam tahun keempat di USAFA.
Beliau menambah bahawa komitmennya untuk berkhidmat kepada negara didorong oleh hasrat untuk menghormati legasi wira Malaysia dan menyemai rasa bangga kepada orang di sekelilingnya.
Menggambarkan konsep perpaduan yang menjadi asas kepada perjalanan Malaysia menuju kemerdekaan, Zarif Mohd Zamrin, kadet dari Kelas 2026, menekankan usaha kolektif yang membawa kepada kebebasan negara.
"Merdeka bermakna lebih daripada sekadar kemerdekaan; ia bermakna perpaduan kerana kita bersatu sebelum akhirnya mencapai kemerdekaan itu. Berada di Amerika, di mana mereka telah mencapai kemerdekaan sejak 1776, mereka tidak mengenali sesiapa yang berjuang untuk kemerdekaan mereka.
"Kita rakyat Malaysia, masih boleh mengiktiraf pahlawan perang kita, kerana sudah hampir daripada 70 tahun sejak kita merdeka. Ini membuatkan saya lebih bersyukur dan berinspirasi untuk berkhidmat kepada negara dan berjuang hingga ke penghujungnya," kata Zarif sambil menambah bahawa dia akan terlepas lagi peluang untuk menghadiri perarakan hari kebangsaan di tanah airnya tahun ini.
Bagi Ummi Annur Syahmina Sohaini, kadet wanita berhijab pertama Malaysia yang diterima masuk ke akademi perkhidmatan berprestij di Amerika Syarikat (AS) tahun ini, Merdeka membawa makna tanggungjawab yang mendalam.
Sebagai seorang daripada wanita Malaysia yang berada di USAFA, dia merasakan tanggungjawab yang unik untuk mewakili negaranya dengan bangga dan memperkukuh hubungan antara Malaysia dan AS.
"Merdeka bermakna tanggungjawab. Saya memikul tanggungjawab untuk mengekalkan kebanggaan Malaysia. Jika hubungan Malaysia dan AS tidak baik, saya tidak akan berada di sini. Terdapat banyak perkara mengenai Malaysia yang saya boleh kongsi dengan rakyat Amerika, seperti memberitahu mereka kita memiliki satu daripada bangunan tertinggi di dunia.
"Dari aspek ketenteraan, ada kalanya apa-apa perkara yang baik yang saya pelajari di tanah air saya terapkan di sini dan menunjukkan kepada rakan-rakan Amerika saya untuk melakukan perkara yang sama," katanya, sambil menyatakan bahawa pertukaran budaya dan peranan belia Malaysia dalam memupuk persefahaman antarabangsa juga penting.
Sementara itu, Akmal Musyrif Mohd Shariff, yang pertama kali menyambut Merdeka di luar negara tahun ini berkata dia sangat terinspirasi oleh pahlawan perang Malaysia, yang legasinya terus mempengaruhi nilai dan latihan pemimpin masa depan negara.
Semangat juang Leftenan Adnan Saidi dan Koperal Mat Aznan Awang, seorang askar Tentera Darat Malaysia yang berkhidmat dalam Batalion Malaysia (MALBATT) semasa Operasi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu di Somalia II (UNOSOM II), harus sentiasa dikenang dan dihargai oleh generasi muda Malaysia.
"Di USAFA, kami dilatih untuk menjadi pemimpin berwatak, bermotivasi untuk memberikan yang terbaik untuk negara tercinta, dalam usaha menjadikan Malaysia sebuah negara yang disegani, terutama dalam bidang pertahanan.
"Malaysia yang kita diami hari ini adalah sebahagian daripada warisan yang telah ditinggalkan oleh pahlawan sebelum kita. Terpulang kepada kita untuk menentukan bagaimana kita akan membentuk legasi kita sendiri untuk generasi akan datang," kata Akmal Musyrif.
Putrajaya sekali lagi dipilih sebagai venue sambutan Hari Kebangsaan tahun ini.
-- BERNAMA