SANDAKAN: Tiada sebarang pekikan meminta pertolongan kedengaran daripada tiga mangsa rentung dalam kejadian kebakaran membabitkan sebuah rumah dua tingkat di Taman Rajawali, Sandakan.

Jiran mangsa, Sulaiman Bedua berkata, ketika kejadian dia sedang tidur sebelum terjaga selepas terhidu bau asap.

Dia kemudian keluar lalu terlihat rumah jiran sebelahnya dipenuhi asap tebal.

"Kebakaran itu belum lagi api ada, cuma asap sahaja, sebab itu saya terjaga dari tidur.

"Asap itu tidak tau dari mana tapi puncanya memang dari bawah, dari situlah api itu menjulang naik," katanya.

Menurutnya, kejadian berkenaan sangat mengerikan apatah lagi tiga jirannya terkorban dalam kebakaran berkenaan.

Jelasnya mereka tidaklah terlalu rapat tetapi sentiasa bertegur sapa dan mengangkat tangan sekiranya terpandang sesama sendiri.

Katanya lagi, jirannya itu merupakan seorang peniaga herba tradisional.

Seorang lagi penduduk, Hafizan Ismail, yang cuba menyelamatkan tiga mangsa rentung berkenaan berkata, dia membaling pasu bunga ke arah pintu rumah mangsa agar mangsa sedar.

Namun, tiada sebarang jawapan balas diberikan penghuni rumah berkenaan dari dalam.

"Saya bergegas ke mari, tiada respon langsung. Kami teriak kami apapun, pintu rumahnya kami lemparkan pasu, dia tak sedar.

"Tiadapun sebarang minta pertolongan. Pintu depan bekunci berantai, pintu utama masuk bekunci lagi. Keadaan di situ api sudah besar, kami pun panik, takut juga keselamatan diri kami juga," katanya.

Katanya, bomba kemudiannya memadamkan kebakaran sebelum menemui tiga penghuni rumah berkenaan rentung.

Terdahulu, pada Jumaat malam, sebuah rumah teres di Taman Rajawali, terbakar. 

BACA: Identiti sebenar tiga mangsa kebakaran dikenal pasti