KUALA LUMPUR: Malaysia akan kekal sebagai destinasi utama bagi pelaburan syarikat minyak nasional Thailand, PTT Exploration and Production (PTTEP), dalam jangka masa pendek dan panjang, menurut BMI.

BMI menjelaskan, PTTEP memegang aset yang besar di Malaysia dan merancang untuk mengukuhkan aktiviti cari gali dan pengeluaran di negara jiran selain memperoleh aset gas asli tambahan.

"PTTEP dijangka mengumumkan keputusan pelaburan akhir (FID) untuk pembangunan medan gas Lang Lebah, yang terletak di blok SK410B, pada 2024. Gas pertama daripada projek itu dijangka diperoleh pada 2027," tambah BMI, sebuah syarikat Fitch Solutions, dalam nota penyelidikan pada Rabu.

Pelaburan minyak dan gas oleh Thailand, yang diterajui oleh PTTEP, di rantau Asia Tenggara dijangka meningkat pada 2024 dan tempoh seterusnya.

Pelaburan minyak dan gas PTTEP di Asia Tenggara diunjurkan terus meningkat sebelum akhir dekad ini, memandangkan syarikat itu telah komited untuk terus melabur di negara jiran Malaysia, Myanmar dan Vietnam.

PTTEP, yang memegang 42.5 peratus kepentingan melalui anak syarikatnya PTTEP HK Offshore, serta KUFPEC Malaysia (42.5 peratus) dan Petronas (15 peratus) telah menyiapkan reka bentuk kejuruteraan bahagian hadapan, yang merangkumi projek pemerangkapan dan penyimpanan karbon.

Gas asli yang diperoleh daripada projek Lang Lebah bertujuan untuk dibekalkan kepada projek gas asli cecair (LNG) Bintulu dan industri lain di Sarawak selain dijangka menghasilkan 3.3bcm/y gas asli pada paras tertingginya.

"Berkemungkinan besar PTTEP akan meneruskan projek Lang Lebah kerana usaha itu melengkapkan pelaburan LNG syarikat itu di Malaysia dan strategi bekalan gas asli jangka masa panjang," menurut BMI.

Pada 2017, PTTGL Investment Ltd (PTTGLI), usaha sama antara PTTEP dan PTT Public Company Ltd, memperoleh 10 peratus kepentingan ekuiti dalam Petronas LNG 9 Sdn Bhd (PL9SB), yang mengendalikan sebuah unit pencairan 3.6 mtpa di kompleks Bintulu LNG.

PTTEP masih menjalankan aktiviti penerokaan di pelbagai blok antaranya SK410B (LLB/Paprika-1), SK417, SK314A, SK438, SK405B, PM415 dan PM407.

Menurut BMI pelaburannya pada masa depan di Malaysia akan bergantung kepada penemuan minyak dan gas yang berdaya maju secara komersial.

Kawasan Pembangunan Bersama Malaysia-Thailand (MTJDA) merupakan satu lagi projek usaha sama yang melibatkan pelaburan komited daripada PTTEP.

PTTEP dan Petronas telah mendapat kelulusan daripada kerajaan Malaysia dan Thailand untuk melanjutkan tempoh pengeluaran selama 10 tahun lagi sehingga 2039.

PTTEP dan Petronas menyasar untuk meningkatkan pengeluaran gas dari MTJDA sebanyak 0.52 bilion meter padu menerusi blok A-17 dan A-18.

Syarikat minyak nasional Asia Tenggara teraju pertumbuhan perbelanjaan modal

Menerusi nota penyelidikan berasingan, BMI mengunjurkan perbelanjaan modal yang dirancang oleh 15 syarikat minyak dan gas utama Asia yang diteliti pihaknya akan mencecah AS$136.4 bilion pada 2024, peningkatan sederhana sebanyak 4.8 peratus berbanding yang dicatatkan pada 2023.

Perbelanjaan modal oleh Petronas dijangka meningkat 5.4 peratus tahun ke tahun kepada AS$11.57 bilion pada 2023 berbanding tahun sebelumnya, dan keperluan perbelanjaan modal bagi operasi domestik dan antarabangsa telah bertambah pada 2023.

Bagi operasi domestik, perbelanjaan modal Petronas meningkat 41 peratus tahun ke tahun daripada tahun sebelumnya susulan pelaburan dalam projek LNG terapung berhampiran persisir 2.0 juta tan setahun, tambahnya.

BMI memaklumkan peningkatan itu juga didorong oleh pelaburan dalam projek pemerangkapan, penyimpanan dan penggunaan karbon yang disepadukan dengan pembangunan medan gas Kasawari yang tinggi karbon dioksida di Sarawak.

"Keperluan perbelanjaan modal bagi projek huluan domestik dijangka meningkat kepada AS$13.2 bilion pada 2024 kerana Petronas telah komited terhadap pelaburan dalam projek luar negara.

"Keperluan perbelanjaan modal untuk pelaburan mungkin meningkat ketara pada 2025 jika Petronas meneruskan projek gas asli Lang Lebah," menurutnya.

Menurut BMI pelaburan dalam operasi luar negara dijangka terus meningkat pada 2024 memandangkan Petronas dan rakan kongsinya, termasuk TotalEnergies EP Angola Block 20 dan Sonangol Pesquisa e Producao SA telah mencapai FID untuk membangunkan medan Cameia dan Golfinho di Blok 20/11 yang terletak di luar pesisir Angola.

Petronas memegang 40 peratus kepentingan dalam projek itu.

"Malaysia dijangka mencatatkan peningkatan kukuh dalam perbelanjaan cari gali huluan pada 2024 dan tempoh selepas itu memandangkan kerajaan telah melancarkan pusingan bidaan petroleum berturut-turut sejak 2021.

"Syarikat asing dijangka mengekalkan tahap perbelanjaan cari gali yang lebih tinggi susulan penemuan minyak dan gas pada 2023," jelas BMI. - BERNAMA