BINTULU: Ketua Pegawai Operasi (COO) Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 Emir Abdul Jalal mempunyai misi memastikan perlumbaan berprestij di Asia itu terus menyajikan saingan mencabar yang memberikan pengalaman sukar dilupakan buat pelumba.

Beliau berkata dua pendakian berturut-turut yang diperkenalkan pada edisi tahun ini akan diteruskan setelah format itu berjaya meninggalkan impak serta kejutan terutamanya dalam persaingan merebut gelaran juara keseluruhan.

"Kita akan berusaha buat balik Genting Highlands (sebagai sebahagian laluan LTdL) dengan sasaran saya untuk memberikan pelumba laluan pendakian berturut-turut sebab ia menggamit kenangan pada 2001 dan 2011.

"Bila ada perkara itu prestij perlumbaan jadi luar biasa, Yonathan Monsalve (pelumba pasukan Androni Giocattoli Serramenti PVC Diquigiovan) menang tiba-tiba (juara keseluruhan 2011), Takaeki Ayabe (Aisan Racing Team) menang dekat Cameron Highlands tetapi dekat Genting Highlands dia gagal jadi cabaran itu datangkan kesukaran untuk menjangkakan siapa pemenang sekali gus menjadikan perlumbaan menarik," katanya.

Beliau berkata kebanyakan pelumba turut memberikan maklum balas positif saingan perlumbaan LTdL kali ini yang memberikan mereka peluang sama rata untuk meraih keputusan terbaik.

"LTdL kali ini memang buat mereka rasa ada masih peluang untuk menang hingga ke penghujung walaupun tanpa Genting Highlands. Ini menunjukkan laluan yang disediakan sangat menarik.

"Ambil contoh Jersi Jingga (Raja Pecut) Arvid de Kleijn (penyandang Raja Pecut edisi 2023 dari Tudor Pro Cycling Team) sampai peringkat keenam baru beliau boleh dapat. Kita fikir beliau dari awal akan pertahankan jersi itu tapi sebaliknya dirampas Matteo Malucelli (JCL Team UKYO). Sama juga perebutan bagi Jersi Polka Dot (Raja Bukit)," katanya.

Beliau berkata wakil negara Terengganu Cycling Team (TSG), Malaysia Pro Cycling (MPC) dan skuad berbasikal lebuh raya kebangsaan turut meraih manfaat berguna daripada laluan mencabar sekali gus menuntut kerja keras pasukan itu pada tahun hadapan bersaing dengan pelumba-pelumba handalan dunia.

Pengarah pasukan MPC Mohd Sayuti Mohd Zahit berkata kejayaan anak buahnya muncul pasukan Asia ketiga terbaik sudah cukup membanggakan apatah lagi ia penampilan pertama pasukan itu yang rata-rata dibarisi pelumba muda.

"Itu buat saya kagum sedikit. Kita tidak letak harapan tinggi kepada mereka, ketiadaan Izzat Hilmi (Mohamad Izzat Hilmi Abdul Halil) telah dibantu Syazrin (Ahmad Syazrin Awang Ilah).

"Walaupun tidak dapat 10 atau 15 terbaik, beliau selangkah demi selangkah cuba menjadi pelumba terbaik di Malaysia dan kita nampak ada kemajuan justeru ini beri pengalaman berguna buat dia dan rakan sepasukan," katanya.

Beliau berkata pihaknya juga berusaha mengenal pasti kelemahan pasukan dan cuba memperbaikinya tahun depan.

Saingan perlumbaan LTdL 2024 membabitkan perlumbaan lapan peringkat sejauh 1,190 kilometer menutup tirainya semalam.

-- BERNAMA