Menteri Belia dan Sukan Hannah Yeoh berkata kerjasama itu bagi memastikan pembangunan sukan berbasikal dapat diberikan tumpuan selain mempromosikan industri pelancongan di negeri terlibat.
"Kecil tapak tangan, nyiru saya tadahkan, bagi sebarang peruntukan kewangan, kemudahan atau lain-lain perkhidmatan daripada pihak kerajaan negeri.
"Masalah kita ialah bajet yang terhad dan kita cuba pergi ke seluruh Malaysia, tetapi (ia) agak mencabar untuk bajet KBS. Kita juga akan melaksanakan kajian impak dan keberkesanan program tersebut dalam membawa hasil pelancongan kepada Malaysia," katanya ketika menggulung perbahasan Rang Undang-Undang Perbekalan (Belanjawan) 2025 di peringkat dasar bagi KBS di Dewan Rakyat hari ini.
Beliau berkata pihaknya juga akan meneliti kesesuaian menjadikan Langkawi sebagai pentas akhir LTdL 2025.
Sementara itu, Hannah berkata KBS sedang melaksanakan pembinaan fasiliti bagi penganjuran Sukan Malaysia (SUKMA) Kelantan 2028, selain menaik taraf fasiliti sukan di negeri lain seperti Kepala Batas Youth Center di Pulau Pinang dan Stadium Majlis Daerah Putatan di Sabah.
"Kompleks Sukan Tenom dan Kompleks Sukan Komuniti Libaran di Sabah juga sedang dinaik taraf manakala di Terengganu, Velodrom Dungun telah siap pada tahun 2022 dan Kompleks Sukan Air di Terengganu akan siap pada Disember tahun ini," katanya.
Beliau juga menyarankan kepada Ahli Parlimen yang ingin memohon fasiliti sukan baharu untuk mendapatkan pengesahan serta kelulusan Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri sebelum dihantar ke KBS.
"Ahli Parlimen juga perlu kemukakan permohonan secara rasmi kepada KBS dan pertimbangan akan diberikan berdasarkan syarat yang ditetapkan oleh Kementerian Ekonomi," katanya.
Hannah berkata KBS juga merancang lebih banyak program yang inklusif berasaskan 10 gaya hidup Rakan Muda serta program berbentuk pertandingan bagi menyediakan lebih banyak platform dan peluang penyertaan belia di peringkat daerah, negeri dan kebangsaan.
Persidangan bersambung Isnin.
-- BERNAMA