DENGKIL: Kementerian Belia dan Sukan (KBS) menyasarkan penglibatan generasi muda berumur 13 hingga 30 tahun pada sambutan hari Kesukarelawanan Belia Malaysia 2024 (HKBM 2024) pada Sabtu.

Timbalan Menterinya, Adam Adli Abdul Halim memberitahu, sasaran diletakkan untuk mewujudkan kesedaran, menggalak dan melahirkan sukarelawan daripada setiap lapisan masyarakat terutamanya generasi muda.

"Kalau kita tengok peserta dari pagi ke petang sangat menggalakkan. kita ada aktiviti yang dah dijalankan from time to time.

"Tidak terhad hanya kepada aktiviti kesukarelawanan, tapi juga melibatkan aktiviti-aktiviti interaktif untuk kita bagi semangat kepada golongan belia yang menjadi peserta hari kesukarelawan pada hari ini," katanya.

Beliau berkata demikian kepada Astro AWANI sempena sambutan HKBM 2024 peringkat kebangsaan di Paya Indah Wetlands, Dengkil pada Sabtu.

Tambah adam adli, sambutan HKBM 2024 merupakan usaha menggalakkan dan mengiktiraf penglibatan semua lapisan masyarakat dalam menceburi dunia kesukarelawanan dan kemanusiaan tanpa mengira perbezaan latar belakang.

Sementara itu, sambutan HKBM 2024 turut dilaksanakan secara serentak di 15 lokasi di seluruh negara.