KUALA LUMPUR: Malaysia akan memanfaatkan peranan sebagai Pengerusi ASEAN 2025 bagi memperkasakan agenda belia.

Kementerian Belia dan Sukan (KBS) dalam kenyataan pada Rabu memaklumkan, Malaysia juga telah menggesa ASEAN mempertimbangkan resolusi dalam dokumen Pact of the Future Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB) dalam aktiviti dan program ASEAN pada tahun akan datang.

"Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN ke-13 dengan tema 'Encouraging Youth's Contribution Towards a Cohesive Society in ASEAN' telah berlangsung pada 28 hingga 30 Nov lepas secara dalam talian," menurut kenyataan itu.

Empat mesyuarat telah diadakan iaitu Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan mengenai Belia ke-13 (SOMY XIII) pada 28 Nov, Mesyuarat Pegawai-Pegawai Kanan mengenai Belia ASEAN+3 ke-12 (12th SOMY+3) pada 29 Nov, Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN ke-13 (AMMY XIII) pada 30 Nov dan Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN+3 ke-9 (9th AMMY+3) pada 30 Nov.

"Timbalan Menteri Belia dan Sukan Adam, Adli Abd Halim telah mewakili Malaysia dalam AMMY XIII pada 30 Nov lepas manakala Timbalan Ketua Setiausaha (Strategik), Ramona Mohd Razali telah menghadiri mesyuarat peringkat pegawai kanan," menurut KBS.

KBS memaklumkan, Malaysia telah menyatakan sokongan terhadap Kenyataan Bersama Menteri-Menteri Mesyuarat Menteri-Menteri Belia ASEAN ke-13 yang meliputi inisiatif memperkasakan belia ASEAN melalui peningkatan kemahiran dan kebolehpasaran.

"Malaysia turut menyatakan penghargaan terhadap program dan aktiviti yang dilaksanakan bagi mempromosi kesukarelawanan belia ASEAN dan untuk memastikan penyertaan orang muda dalam pembangunan negara serta serantau," menurut kenyataan itu.

Menurut KBS, Malaysia juga telah mengambil peluang untuk memaklumkan kepada mesyuarat berkaitan kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada tahun hadapan dan berharap suara belia dapat diperkasakan dalam tempoh tersebut.

Kenyataan itu turut memaklumkan, mesyuarat SOMY merupakan satu platform penting dalam meneruskan agenda pembangunan belia di rantau ini.

"Malaysia telah menyatakan harapan agar semua negara ASEAN dapat memberi sokongan kepada pelbagai aktiviti dan program belia yang bakal dianjurkan pada 2025 di Malaysia," menurut KBS lagi.
- BERNAMA