Bagi merealisasikan hasrat itu, menteri berkenaan, Hannah Yeoh berkata, KBS akan mentransformasikan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Kuala Langat kepada Institut Kemahiran Sukan Negara (IKSN) tahun depan sebagai peneraju bidang teknologi sukan di Malaysia.
Hannah berkata, antara program yang menarik perhatian pihaknya untuk memulakan TVET Sukan di IKSN adalah dalam bidang pembinaan dan penyelenggaraan fasiliti sukan, permotoran sukan dan fotografi sukan.
"Kita perlukan masa (memperkenalkan TVET Sukan) tapi ia adalah permulaan yang baik. Walau nak cuba sekarang namun kita kena pastikan tenaga pengajar bersedia," katanya selepas menghadiri Sesi Libat Urus TVET Sukan sempena Simposium Kemahiran Institut Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) 2024 (SKIL'24) dekat Puchong, pada Rabu.
Hannah berkata, pengenalan TVET Sukan juga dapat mengurangkan tenaga kerja warga asing dalam industri sukan di negara ini.
Beliau berkata, pengurangan tenaga kerja warga asing di fasiliti sukan juga dilihat mampu mengurangkan kos upah pekerja sekali gus memastikan harga untuk mendapat akses bersukan kekal berpatutan dan tidak membebankan pengguna.
Mengenai sesi libat urus hari ini yang turut dihadiri Ketua Setiausaha KBS, Dr K. Nagulendran, Hannah berkata, ia bertujuan mengumpul maklum balas pemegang taruh terdiri daripada pihak industri, persatuan sukan dan agensi peneraju untuk memastikan TVET Sukan yang dirancang selaras dengan keperluan industri. - BERNAMA