IPOH: Jalan di sekitar bandar raya ini akan ditutup dan dilencongkan bagi memberi laluan kepada kejohanan perlumbaan Petronas Le Tour de Langkawi (LTdL) 2024 pada 1 Oktober.

Menurut Ketua Polis Daerah Ipoh ACP Abang Zainal Abidin Abang Ahmad, penutupan dan lencongan itu akan bermula pada Selasa ini jam 12 tengah hari hingga 2 petang.

Katanya, ia bermula dari lampu isyarat Infoternak Sungai Siput sehingga ke sempadan Pahang (Cameron Highlands) melalui daerah Ipoh.

Jalan yang terlibat untuk penutupan dan lencongan secara berperingkat adalah seperti berikut:

1. Jalan Kuala Kangsar (sehingga lampu isyarat Tasek)
2. Jalan Sultan Azlan Shah (sehingga lampu isyarat Medan Gopeng)
3. Jalan Sultan Nazrin Shah (sehingga lampu isyarat balai polis Simpang Pulai)
4. Jalan Keramat Pulai (sehingga sempadan negeri Pahang)

Beliau berkata, cadangan jalan alternatif yang boleh digunakan oleh pengguna jalan raya semasa program berlangsung adalah seperti berikut:

1. Jalan Lahat-Simpang Pulai
2. Jalan Sultan Nazrin Shah
3. Jalan Kuala Kangsar
4. Lingkaran Lebuhraya Utara Selatan hala ke Kuala Kangsar
5. Lingkaran Lebuhraya Utara Selatan hala ke Ipoh

Sehubungan itu, katanya, pengguna jalan raya khususnya warga Ipoh dinasihat supaya merancang perjalanan dan memilih laluan alternatif bagi mengelak terperangkap dalam kesesakan lalu lintas semasa penutupan dan lencongan jalan dilaksanakan.

Sebanyak 132 pelumba yang mewakili 22 pasukan terlibat memberikan saingan sengit pada LTdL kali ini.

Perlumbaan ini meliputi jarak keseluruhan sebanyak 1,190 kilometer membabitkan 10 negeri di Semenanjung Malaysia serta Sarawak.

Perlumbaan bermula 29 Sept di Langkawi untuk Peringkat 1, diikuti Peringkat 2 dari Arau ke Butterworth, Taiping ke Cameron Highlands (Peringkat 3), Kuala Kubu Baru ke Bentong (Peringkat 4), Kuala Lumpur ke Melaka (Peringkat 5), Batu Pahat ke Kulai (Peringkat 6), Miri ke Bintulu (Peringkat 7), dan Bintulu (Peringkat 8).