Beliau dalam satu kenyataan hari ini berkata Bintulu kini semakin maju dan sistem tebatan banjir sedia ada, ada yang tidak mempunyai perancangan yang betul dan tidak lagi berupaya menjalankan fungsi yang sepatutnya.
Tiong berkata perkara tersebut telah beliau tekankan semasa satu mesyuarat khas di Lembaga Kemajuan Bintulu (BDA), semalam.
Beliau yang juga Menteri Pelancongan, Seni dan Budaya Malaysia berkata pihak berkuasa, akan mempercepat proses penempatan semula setinggan yang menduduki kawasan tebing sungai tersebut.
"Jabatan Tanah dan Survei telah pun menjalankan bancian isi rumah yang memerlukan penempatan semula di kawasan terjejas. Sebaik sahaja Jabatan Tanah dan Survei melengkapkan banciannya, agensi lain termasuk Pejabat Residen dan BDA akan mengadakan mesyuarat penyelarasan terakhir pada 24 Feb, untuk membincangkan serta memuktamadkan pelan penempatan semula," katanya.
Tiong berkata sebarang struktur baharu tanpa kelulusan di kawasan tersebut tidak akan dibenarkan untuk dibina dan bangunan yang didirikan secara haram akan dirobohkan.
Beliau berkata penduduk setinggan yang layak daripada kawasan itu, akan dipindahkan ke kawasan yang ditetapkan oleh pihak berkuasa termasuk ke unit rumah kos rendah yang sedang dirancang untuk dibina.
"Walau bagaimanapun, jika unit ini tidak disiapkan tepat pada masanya, penduduk tetap perlu berpindah dan membuat pengaturan alternatif sementara. Semua pihak mesti bersedia ke arah perubahan ini," katanya sambil menggesa penduduk yang terlibat memberikan kerjasama mereka.
Projek yang telah dirancang sejak awal 2020 itu melibatkan kerja melebarkan sungai seluas 100 meter dan mendalamkannya sehingga lima meter, bagi memastikan ia dapat menampung peningkatan taburan hujan.
Tiong turut meminta Jabatan Pengairan dan Saliran, BDA dan pihak berkuasa lain yang berkaitan, untuk menilai semula keseluruhan sistem sungai dan rancangan pembangunan untuk Bintulu.
Beliau berkata pihak pemaju mesti dilarang sama sekali untuk menutup sungai sedia ada semasa menjalankan projek-projek pembinaan, kerana ia menghalang saliran semula jadi dan menghalang air hujan daripada mengalir lancar ke laut.
Selain itu, semua sistem perparitan sedia ada, termasuk terusan besar dan kecil, mesti dinilai semula dan dinaik taraf jika perlu bagi mencegah kejadian banjir kilat.
-- BERNAMA
![](https://img.astroawani.com/2024-10/51729493751_freesize.jpg)