Tanpa kehadiran tapak perindustrian, rata-rata penduduk di sini hanya bergantung harap kepada pekerjaan tradisional seperti bekerja di ladang getah dan kelapa sawit, kawasan penternakan dan mengusahakan pekerjaan sendiri dengan berniaga, menjadi buruh binaan atau mekanik kenderaan.
Peniaga Rahaziani Abdul Ghani, 39, dari Kampung Sungai Asap berkata, untuk meningkatkan ekonomi setempat, peluang pekerjaan yang banyak perlu diwujudkan terutama kepada golongan muda supaya mereka dapat menjana pendapatan untuk diri sendiri dan keluarga.
"Ramai anak muda di kampung ini bekerja sendiri dan tidak mahu berhijrah ke tempat lain, jadi saya rasa perlu ada kilang-kilang yang berkaitan dengan pertanian atau pembuatan diwujudkan di kawasan ini untuk tarik minat mereka bekerja.
"Ini penting untuk memastikan kehidupan mereka terjamin, tidak menganggur dan mampu berdikari tanpa bergantung harap pada orang lain," katanya ketika ditemui Bernama di Kampung Sungai Asap, di sini, baru-baru ini.
DUN Nenggiri yang berkeluasan hampir dua kali ganda negeri Melaka dan kini berhadapan pilihan raya kecil (PRK) mempunyai seramai 20,259 pemilih berdaftar dan daripada jumlah itu seramai 12,387 orang atau lebih 61 peratus terdiri pengundi muda berusia 18 hingga 39 tahun.
Buruh binaan Muhammad Aisar Aniq Suhaimi, 21, dari Kampung Sungai Asap B mencadangkan agar kursus teknikal dan kemahiran diperbanyak di kawasan mereka memandangkan ramai dalam kalangan rakannya minat membaiki motosikal dan barangan elektrik seperti mesin basuh atau televisyen.
"Apabila orang muda didedahkan dengan kelas atau kursus kemahiran sebegini ia sebenarnya membantu mereka tingkatkan ilmu pengetahuan dan boleh buka kedai sendiri.
"Jadi akan lebih ramai lagi anak-anak muda di kawasan sekitar boleh bekerja di tempat itu," katanya.
Selain peluang pekerjaan, tempat riadah di DUN itu yang hampir 70 peratus daripadanya diliputi hutan dan bukit bukau menjadi isu bagi generasi muda.
Aizat Abd Rahim, 29, dari Kampung Jeram Tekoh berkata, kemudahan aktiviti riadah atau sukan seperti gelanggang badminton dan futsal perlu dibina di kawasan yang strategik untuk melahirkan generasi sihat serta cergas.
"Kita sedia maklum, DUN Nenggiri ini dikelilingi bukit bukau dan hutan, jarak untuk ke sesebuah kampung itu pun ada yang jauh serta mengambil masa yang agak lama untuk sampai.
"Oleh itu, bagi saya elok juga kalau setiap kampung itu ada gelanggang sukan masing-masing mengikut keperluan penduduk di kawasan berkenaan, sebagai contoh Kampung Jeram Tekoh ada gelanggang futsal, manakala Kampung Renok pula ada gelanggang badminton," katanya.
PRK DUN Nenggiri yang ditetapkan hari mengundi Sabtu ini menyaksikan pertandingan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani yang mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).
PRK ini diadakan berikutan kekosongan kerusi yang diumum Speaker DUN Kelantan Datuk Mohd Amar Nik Abdullah pada 19 Jun, selepas bekas penyandangnya Mohd Azizi Abu Naim digugurkan keahlian oleh Bersatu pada 13 Jun. - BERNAMA