PUTRAJAYA: Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim berkata beliau tidak akan mencampuri siasatan terhadap Presiden Bersatu Tan Sri Muhyiddin Yassin yang didakwa menyentuh institusi diraja ketika berkempen pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri.

Beliau berkata siasatan itu dijalankan mengikut saluran undang-undang dan menyerahkan perkara tersebut kepada Peguam Negara.

"Kita ikut jalur (undang-undang), serah kepada siasatan (polis) dan juga Peguam Negara. Saya tidak campur urusan (itu)," katanya kepada pemberita selepas menyampaikan amanat kepada penguat kuasa Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup di sini hari ini.

Muhyiddin didakwa membuat ucapan yang menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) semasa kempen PRK DUN Nenggiri di Kelantan baru-baru ini menyebabkan ramai pihak tampil membuat laporan polis.

Muhyiddin juga dikatakan mengeluarkan ucapan yang mempertikai tugas dan kewibawaan Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

Siasatan terhadap bekas Perdana Menteri itu dibuat mengikut Seksyen 4(1) Akta Hasutan, Seksyen 233 Akta Komunikasi dan Multimedia 1998 serta Seksyen 504 Kanun Keseksaan.

-- BERNAMA