KUANTAN: Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Perikatan Nasional (PN) negeri ini menyokong penuh titah Tengku Mahkota Pahang Tengku Hassanal Ibrahim Alam Shah supaya satu siasatan yang adil dilakukan ke atas Tan Sri Muhyiddin Yassin berhubung ucapannya semasa berkempen di Nenggiri baru-baru ini.

Ketua Pembangkang Dewan Undangan Negeri Pahang Datuk Seri Tuan Ibrahim Tuan Man berkata kesemua mereka juga meletakkan keyakinan sepenuhnya kepada pihak polis bagi menjalankan tugas dan meminta supaya semua pihak tidak membangkitkan polemik serta akur terhadap titah Tengku Mahkota Pahang.

"Kami Ahli Dewan Negeri Pahang dari Perikatan Nasional menzahirkan taat setia yang tidak berbelah bahagi kepada Sultan Pahang Al-Sultan Abdullah Ri'ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, Tengku Ampuan Pahang Tunku Azizah Aminah Maimunah Iskandariah dan Tengku Mahkota Pahang dalam menjalankan tugas baginda sebagai payung tempat kami semua bernaung," katanya dalam kenyataan hari ini.

Semalam Tengku Hassanal bertitah mahukan Polis Diraja Malaysia (PDRM) mengambil tindakan tegas tanpa kompromi terhadap Muhyiddin yang secara sengaja menyentuh isu 3R (kaum, agama, raja) ketika berkempen bagi Pilihan Raya Kecil Dewan Undangan Negeri Nenggiri baru-baru ini.

Tengku Hassanal juga turut menzahirkan kemurkaan dan rasa terkilan dengan tindakan Pengerusi Perikatan Nasional (PN) itu yang mempertikaikan tugas dan peranan Sultan Pahang ketika baginda menjadi Yang di-Pertuan Agong ke-16.

-- BERNAMA