KOTA KINABALU: Dewan Undangan Negeri (DUN) Sabah dijangka dibubarkan pada Ogos 2025 bagi memberi laluan kepada Pilihan Raya Negeri Ke-17 (PRN17).

Ahli Majlis Tertinggi Gabungan Rakyat Sabah (GRS), Datuk Seri Ruddy Awah, berkata jangkaan itu bersesuaian dengan tempoh DUN Sabah yang dijadualkan tamat pada Oktober tahun hadapan.

Menurut Ruddy, tiada kemungkinan pembubaran berlaku sebelum 31 Disember ini atau awal tahun depan, meskipun terdapat desakan supaya PRN17 diadakan lebih awal.

"DUN tidak akan dibubarkan tahun ini kerana tempoh semasa adalah sehingga Oktober 2025.

"Jangkaan pembubaran pada Ogos tahun depan adalah logik dan sesuai," katanya dalam sidang media di pejabatnya di Karamunsing, hari ini.

Ruddy, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) N.03 Pitas, memaklumkan, persiapan GRS untuk menghadapi PRN17 telah dimulakan.

Malah katanya, usaha itu akan diperhebatkan bermula Januari 2025.

Beliau turut menekankan pentingnya perancangan rapi untuk memastikan kejayaan parti dalam menghadapi PRN17 di Sabah.