Ketua Pesuruhjaya Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM), Tan Sri Azam Baki berkata, pihaknya setakat ini belum menerima sebarang aduan rasmi daripada mana-mana pihak berkaitan perkara itu.
Beliau berkata, tiada sebarang aduan rasmi termasuk daripada peguam kepada pemberi maklumat yang ada bertemu pegawai SPRM pada 30 Oktober lalu.
"Peguam kepada pemberi maklumat itu hanya memainkan audio yang mengandungi rakaman suara beberapa beberapa individu sedang berbincang berkaitan wang.
"Individu terbabit juga tidak memaklumkan siapa ADUN yang terlibat, dia juga bersedia memberikan bukti sekiranya pihak kami menandatangani persetujuan yang menyatakan anak guamnya tidak diletakkan di bawah siasatan," katanya pada Ahad.
Tambah beliau, bagaimanapun pegawai SPRM terlibat tidak bersetuju berkaitan perkara itu kerana ia bukan prosedur undang-undang yang perlu dipatuhi SPRM.
"Peguam berkenaan turut menyatakan bahawa dia tidak mempercayai Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 pada pertemuan itu.
"SPRM masa sama tidak boleh memberikan sebarang jaminan imuniti bertulis terhadap mana-mana individu sama ada tidak akan disiasat atau didakwa sekiranya mereka memberi maklumat dan terlibat dalam perkara melibatkan rasuah," katanya.
Tegasnya, pemberi maklumat berkenaan perlu membuat laporan rasmi kepada SPRM bagi memulakan sebarang proses perlindungan di bawah Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010.
"Akta Perlindungan Pemberi Maklumat 2010 secara jelas menyatakan individu yang memiliki maklumat perlu mendedahkan perlakuan salah dahulu, seperti ditakrif undang-undang sebelum sebarang proses perlindungan dapat dimulakan.
"Tindakan SPRM berlandaskan undang-undang supaya sebarang laporan ditangani secara saksama dan profesional, termasuk sebarang dakwaan salah laku akan disiasat secara lengkap tanpa memihak kepada mana-mana pihak," katanya.
Media tempatan sebelum ini melaporkan terdapat kira-kira lapan rakaman video mengaitkan beberapa ADUN yang didakwa membincangkan rasuah bernilai ratusan ribu ringgit yang diberikan kepada mereka.
Ia dipercayai sebagai balasan untuk mendapatkan projek di sebuah negeri. - Sinar Harian