KUALA LUMPUR: Jentera UMNO dan Barisan Nasional (BN) diingatkan supaya tidak terleka dengan kemenangan Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri agar tidak menjejaskan peluang memenangi PRK DUN Mahkota di Johor bulan depan.

Timbalan Pengerusi Badan Perhubungan UMNO Johor Datuk Seri Ahmad Maslan menggesa barisan jentera parti semua terus fokus membuat persiapan rapi.

"Jangan leka atas kejayaan Nenggiri sebagaimana jangan leka atas kejayaan (Pakatan Harapan) di (PRK) Kuala Kubu Bharu. Di (PRK) DUN Sungai Bakap (tewas) agaknya sebab terleka sebab kita yakin menang setelah menang di Kuala Kubu Bharu.

"Apabila kalah di Sungai Bakap itu, kami buat kerja dua kali ganda di Nenggiri. Peringatan kepada jentera, kita menang di Kuala Kubu Bharu tapi kita kalah di Sungai Bakap. Kita jangan pula menang di Nenggiri tapi kalah di Mahkota. Jadi jentera kena terus buat persiapan rapi," katanya kepada Bernama.

Beliau yang juga timbalan pengarah pilihan raya DUN Mahkota berharap agar calon yang bakal diketengahkan BN pada PRK itu menepati ciri-ciri 'winnable' (boleh menang), 'acceptable' (diterima), 'likeable' (disenangi) (WALI) seperti yang diutarakan oleh Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

"Dan harapan kita (pemilihan calon) diputuskan tidak terlalu lambat. Apabila kita umum lebih awal, jadi calon itu boleh bergerak lebih awal. Jadi itu satu lagi kaedah di Nenggiri yang boleh kita laksanakan (di Mahkota). Dia tak boleh (diumumkan) dua hari sebelum penamaan calon," katanya.

Mengulas mengenai peluang BN mempertahankan kemenangan di DUN Mahkota, Ahmad berkata secara peribadi beliau mengharapkan parti itu akan berjaya menggandakan majoriti yang dimenangi sebelum ini kepada 10,000.

Namun beliau tidak menolak kemungkinan jumlah majoriti menjadi lebih memandangkan BN kini bekerjasama dengan jentera PH.

"Saya secara peribadi mengharapkan majoriti 10,000, itu harapan saya secara peribadi. Tapi kami di Johor, kami ingin menang seberapa yang sepatutnya kami boleh menang. Bererti tidak menang tipis, kita nak menang besar.

"Kami di Johor berharap agar menang yang munasabah apabila kita bersama dengan PH. Bererti kemenangan itu boleh melebihi daripada kemenangan dulu dari segi teorinya kerana sebelum ini kami dapat 16,000 undi dan PH dapat 11,000. Maka tentu (mengharapkan jumlah undi) akan melebihi dari yang dulu," katanya.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian bagi PRK DUN Mahkota pada 28 Sept manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing ditetapkan pada 14 dan 24 Sept.

Pilihan raya itu diadakan susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, yang meninggal dunia pada 2 Ogos ketika dirawat di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK), Kluang.

-- BERNAMA