KLUANG: Jabatan Kerja Raya (JKR) sedang dan telah melaksanakan 559 projek untuk Kementerian Dalam Negeri (KDN) dengan jumlah keseluruhan RM5.635 bilion hingga November tahun ini.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata daripada jumlah itu, sebanyak 39 projek bernilai RM2.331 bilion dalam fasa prapembinaan.

“Sebanyak 41 projek bernilai RM3.023 bilion dalam fasa pembinaan dan 479 projek lagi melibatkan kerja-kerja penyelenggaraan dan projek pelan pemulihan, ubah suai, naik taraf aset (PPUN) bernilai RM280.784 juta,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas menghadiri Majlis Penyerahan Projek Siap Pembangunan Sistem Keselamatan Elektronik Bersepadu (SKEB) bagi Penjara Simpang Renggam dan Pusat Pemulihan Akhlak (PPA) Muar, di sini hari ini.

Ahmad berkata daripada jumlah berkenaan, RM218.88 juta diperuntukkan untuk pembangunan 18 projek SKEB di seluruh negara termasuk di Penjara Simpang Renggam dan PPA Muar di Johor; Penjara Seremban dan Institusi Pemulihan Dadah Jelebu, Negeri Sembilan; Penjara Alor Setar, Penjara Sungai Petani di Kedah; Penjara Pulau Pinang; dan Penjara Taiping, Perak.

Selain itu katanya, projek SKEB turut dilaksanakan di Pusat Pemulihan Akhlak Batu Gajah, Perak; Penjara Pengkalan Chepa, Kelantan; Penjara Dusun Dato' Murad dan Sekolah Henry Gurney Telok Mas, Melaka; Penjara Pusat Kota Kinabalu, Penjara Wanita Kota Kinabalu, Penjara Sandakan, Sekolah Henry Gurney Keningau dan Penjara Tawau, Sabah; dan Penjara Puncak Borneo, Sarawak.

Beliau berkata sembilan daripada projek berkenaan telah siap termasuk di Penjara Simpang Renggam dan PPA Muar manakala sembilan lagi dijangkakan siap pada Mei tahun depan.

Sementara itu, Ahmad berkata projek SKEB Penjara Simpang Renggam dan PPA Muar dibangunkan dengan kos RM23.122 juta sejak 4 Mac 2022 dan Sijil Perakuan Siap Kerja (CPC) telah berjaya dikeluarkan pada 21 Okt tahun ini mengikut masa yang telah ditetapkan setelah pengujian keseluruhan sistem dilaksanakan.

“Pelaksanaan teknologi SKEB ini merupakan satu inisiatif yang sangat kritikal dalam usaha untuk memperkukuh aspek pengawasan, keselamatan dan tindakan bagi sesebuah institusi penjara dengan risiko kes-kes lari dan lain-lain yang tidak diingini disasarkan kepada sifar,” katanya.

Beliau berkata antara skop projek ini ialah pemasangan sistem kamera litar tertutup (CCTV) yang mempunyai liputan lebih luas dan menyeluruh, Electronic Access Control System, IP Security Intercom System, Integrated Security Management System (ISMS) dan kerja-kerja pemasangan elektrik voltan rendah serta kerja-kerja kejuruteraan awam.

“Bagi memperkasakan sistem keselamatan Penjara Simpang Renggam yang dikategorikan sebagai Penjara Maksimum ini, sebanyak 758 CCTV pelbagai jenis seperti dome, bullet, corner mount, panaromic dan pan-tilt-zoom (PTZ) telah dipasang manakala di PPA Muar pula, ia dilengkapi dengan 106 CCTV pelbagai jenis,” katanya.

-- BERNAMA