SEPANG: Malaysia Airports Holdings Berhad (MAHB) mengesahkan kewujudan lubang benam di Kompleks Bunga Raya seperti yang tular dalam media sosial pada Rabu.


Ringkasan AI
  • MAHB mengesahkan kewujudan lubang benam di Kompleks Bunga Raya, kira-kira satu kilometer dari Terminal Utama KLIA, yang dikesan pada jam 8.54 pagi.
  • Tiada kerosakan harta awam atau gangguan kepada akses terminal, bahagian udara, landasan, dan operasi penerbangan.
  • Kawasan tersebut telah ditutup untuk penilaian dan pembaikan, dengan laluan lencongan dibuka. Pihak berkuasa seperti PDRM dan JKR telah dimaklumkan.


Menerusi kenyataan di laman rasminya, MAHB memaklumkan lubang benam itu dikesan pada jam 8.54 pagi di jalan raya di luar Kompleks Bunga Raya, kira-kira satu kilometer dari Bangunan Terminal Utama Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA).

Menurut kenyataan itu, tiada kerosakan harta awam dilaporkan susulan insiden itu dan akses ke kedua-dua terminal KLIA juga tidak terjejas.

Bahkan, bahagian udara, landasan dan operasi penerbangan juga tidak terjejas.


Tambah MAHB, pasukannya kini telah menutup kawasan tersebut dan sedang melakukan penilaian terhadap insiden itu.

MAHB menegaskan, pihaknya akan terus mengemas kini maklumat dari masa ke masa sepanjang siasatan berjalan.

“Pihak berkuasa berkaitan, termasuk PDRM dan JKR, telah dimaklumkan, dan usaha membaiki jalan sedang dilakukan.

“Jalan yang terjejas ditutup sementara, dengan laluan lencongan dibuka untuk kenderaan yang melalui kawasan itu,” menurut kenyataan itu.