KUALA LUMPUR: Enam pegawai Jabatan Kastam Diraja Malaysia (JKDM) yang ditahan selepas disyaki terlibat dalam sindiket penyeludupan dan pengelakan cukai melibatkan rokok elektronik (vape) baru-baru ini, telah ditukarkan ke bahagian tidak kritikal berkuat kuasa hari ini.

Ketua Pengarah Kastam Datuk Anis Rizana Mohd Zainudin berkata, kesemua pegawai terbabit tidak lagi ditugaskan di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA), sehingga siasatan selesai.

Anis Rizana turut menegaskan JKDM tidak akan berkompromi atau melindungi pegawai yang terlibat dalam salah laku, pelanggaran integriti, atau jenayah rasuah dan menyeru agar semua anggota JKDM berkhidmat dengan penuh ikhlas, cekap, tangkas dan berintegriti.

"Sebagai sebuah agensi yang bertanggungjawab dalam mengutip hasil negara, setiap warga JKDM bertanggungjawab melaksanakan amanah ini dengan penuh dedikasi dan integriti," katanya dalam kenyataan hari ini.

Sebelum ini, dilaporkan SPRM berjaya menumpaskan satu sindiket penyeludupan vape di Pusat Kargo KLIA selepas menahan 14 individu termasuk enam pegawai kastam kerana disyaki bersekongkol dalam kegiatan tersebut, baru-baru ini.

Sindiket itu dibongkar menerusi Op Airways yang menyaksikan semua suspek lelaki berusia 20 hingga 60-an itu ditahan dalam serbuan di sekitar KLIA dan Putrajaya, yang mengakibatkan negara mengalami kerugian dari segi kutipan cukai yang dianggarkan RM8 juta.

-- BERNAMA