PUCHONG: Projek pembinaan tapak khas simulasi bencana bagi Pasukan Mencari dan Menyelamat Khas Malaysia (SMART) di Pulau Meranti dekat sini dijangka siap sepenuhnya pada Februari ini.


Ringkasan AI
  • Projek pembinaan tapak simulasi bencana SMART di Pulau Meranti dijangka siap sepenuhnya pada Februari 2025.
  • Pusat ini akan menjadi pusat simulasi bencana pertama di Malaysia dan kedua di ASEAN selepas Singapura.
  • Projek ini bertujuan meningkatkan kecekapan dan profesionalisme anggota SMART dalam menghadapi bencana.


Projek di bawah seliaan Jabatan Kerja Raya (JKR) Selangor itu telah mencapai 99 peratus kemajuan dan bakal menjadi pusat simulasi bencana yang pertama di Malaysia serta kedua di rantau ASEAN selepas Singapura.

Timbalan Menteri Kerja Raya Datuk Seri Ahmad Maslan berkata pembinaan pusat simulasi bencana itu bertujuan meningkatkan kecekapan dan tahap profesionalisme anggota SMART dalam mendepani segala bentuk kemungkinan bencana yang berlaku.

“Kita ingin menjadi pasukan menyelamat yang cekap ketika berlaku bencana. Anggota SMART kira-kira 150 orang dan pusat ini akan memberikan latihan optimum kepada mereka yang terlibat,” katanya pada sidang media selepas melawat tapak simulasi khas bencana itu di Markas SMART di sini hari ini.

Projek yang melibatkan kos hampir RM33.4 juta itu adalah milik Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) di bawah Jabatan Perdana Menteri.

Ahmad berkata pusat berkenaan memiliki keupayaan membuat simulasi pelbagai senario bencana yang akan menjadi asas kepada latihan komprehensif dan berdasarkan situasi sebenar bencana.

Beliau berkata fasiliti dan teknologi yang akan melengkapkan pusat berkenaan dijangka menyokong semua keperluan bagi memudahkan pasukan SMART mengekalkan pengiktirafan International Search and Rescue Advisory Group (INSARAG), badan di bawah Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu yang mengkoordinasikan rangkaian penyelamat antarabangsa berkaitan operasi bencana rentas sempadan.

Antara modul latihan simulasi dalam projek itu ialah modul kereta kabel (modul menyelamat kemalangan kereta kabel), kemalangan kereta api bawah tanah, menyelamat bangunan condong dan bangunan separa runtuh dan menara ‘abseiling’.

Dalam perkembangan lain, Ahmad turut mengumumkan JKR akan membina projek NADMA di bawah Kumpulan Wang Amanah Bantuan Bencana Negara untuk menyiapkan dewan terbuka pusat pemindahan kekal bencana dalam kawasan sekolah.

Beliau berkata terdapat lapan sekolah terpilih dengan dua sekolah menerima surat setuju terima (SST) manakala enam lagi masih dalam proses perancangan.

“Pusat ini adalah pusat pemindahan banjir, projek NADMA bagi hadapi bencana seperti banjir dengan membina dewan terbuka pusat pemindahan kekal bencana,” katanya.

Dua sekolah menerima SST ialah Sekolah Kebangsaan (SK) Seri Medan, Batu Pahat, Johor dan SK Gual Tinggi, Pasir Mas, Kelantan manakala enam sekolah dalam proses perancangan ialah SK Banggol Peradong, Terengganu; SK Benta Kuala Lipis, Pahang; SK Perwira Teluk Intan, Perak; SK Machang Bubok Bukit Mertajam, Pulau Pinang; SK Sungai Kelamah Tampin, Negeri Sembilan dan Sekolah Menengah Kebangsaan Jerai, Kupang, Kedah.

-- BERNAMA