GUA MUSANG: Barisan peguam bekas Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin hari ini mengemukakan permohonan untuk memindahkan perbicaraan kes dihadapinya di Mahkamah Sesyen Gua Musang ke Mahkamah Tinggi Kota Bharu.

Kes itu membabitkan tuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri baru-baru ini.

Peguam Amer Hamzah Arshad berkata, pihaknya telah memfailkan satu permohonan untuk memindahkan prosiding di Mahkamah Sesyen ke Mahkamah Tinggi pada 1 Nov lepas.

"Antara sebab kami memohon untuk memindahkan kes ini ke Mahkamah Tinggi ialah terdapat beberapa isu, seperti sama ada Seksyen 3 dan 4 Akta Hasutan bertentangan dengan Fasal 10 Perlembagaan Persekutuan kerana ia mempunyai kesan menyekat dan menafikan kebebasan bersuara serta hak rakyat Malaysia untuk berkongsi kisah peribadi dan menyatakan fakta dan rekod sejarah atau mengeluarkan pendapat.

"Kes ini juga akan melibatkan peranan Yang di-Pertuan Agong di bawah Perlembagaan Persekutuan dan cara bagaimana Perdana Menteri dilantik.

"Permohonan terbabit telah kami failkan serta sudah menerima salinan permohonan dan menjangkakan pendengaran (keputusan permohonan) akan ditetapkan sekitar November atau awal Disember," katanya kepada pemberita selepas selesai prosiding sebutan semula kes Muhyiddin berhubung perkara itu di Mahkmah Sesyen, di sini, hari ini.

Dalam prosiding yang berlangsung kira-kira 15 minit itu, Hakim Nik Mohd Tarmizie Nik Mohd Shukri menetapkan 15 Jan 2025 untuk sebutan semula kes.

Pada prosiding sama, Nik Mohd Tarmizie turut membenarkan permohonan Amer Hamzah supaya Muhyiddin diberi pengecualian daripada hadir pada tarikh baharu sebutan semula berkenaan atas faktor logistik.

Kes dikendalikan lima Timbalan Pendakwa Raya diketuai Azlina Rasdi manakala Muhyiddin diwakili enam peguam yang diketuai Amer Hamzah.

Sebelum ini, Muhyiddin mengaku tidak bersalah di Mahkamah Sesyen di sini atas pertuduhan menyebut perkataan menghasut semasa kempen PRK DUN Nenggiri di Dewan Semai Bakti Felda Perasu antara pukul 10.30 malam hingga 11.50 malam, 14 Ogos lepas.

Kenyataan menghasut itu berkenaan dakwaan beliau yang tidak dijemput oleh Yang di-Pertuan Agong selepas Pilihan Raya Umum ke-15 untuk mengangkat sumpah sebagai Perdana Menteri walaupun dikatakan mempunyai sokongan 115 daripada 222 Ahli Parlimen pada masa itu.

Beliau didakwa melakukan kesalahan di bawah Seksyen 4(1)(b) Akta Hasutan 1948 yang boleh dihukum di bawah Subseksyen 4(1) akta sama, membawa hukuman denda tidak melebihi RM5,000 atau penjara tidak lebih tiga tahun atau kedua-duanya. - BERNAMA