Dalam kejadian kira-kira pukul 1.30 pagi yang turut meragut nyawa seorang cucu perempuan berusia 11 tahun itu, lelaki berumur 48 tahun yang dikenali sebagai Azman Mohamed difahamkan berada di lokasi kejadian sebelum gagal dikesan.
Ketua Polis Daerah Muar ACP Raiz Mukhliz Azman Aziz berkata, pihaknya mencari penama berkenaan bagi membantu siasatan dan memberikan keterangan berhubung insiden malang membabitkan ahli keluarganya itu.
“Hasil siasatan pihak polis juga mendapati, terdapat seorang lagi saksi kejadian bernama Azman Mohamed yang juga merupakan ahli keluarga mangsa, yang tinggal bersama mereka di rumah tersebut.
“Lelaki ini diperlukan bagi membantu siasatan dan pihak polis menggesa agar dia tampil memberikan keterangan,” katanya dalam kenyataan di sini.
Mengulas lanjut, Raiz Mukhliz berkata, setakat ini kejadian kes itu masih diklasifikasikan sebagai mati mengejut.
“Sebarang perkembangan lanjut akan dimaklumkan dan orang ramai yang mempunyai maklumat kejadian tersebut boleh menghubungi hotline Ibu Pejabat Polis Daerah Muar di talian 06-9564800, atau mana-mana balai polis berhampiran,” tambahnya.
BACA: Pasangan warga emas, cucu maut nahas kebakaran rumah
Terdahulu dalam kejadian awal pagi tadi, Mohamed Nor Mohamed Yassin, 82 tahun, dan Ara Abdul Hamid, 76 tahun, serta cucu mereka Noradriana Nor Hisyam, maut selepas rumah mereka hangus dijilat api.
Pasangan warga emas itu maut di lokasi kejadian manakala Noradriana meninggal dunia ketika menerima rawatan di Hospital Pakar Sultanah Fatimah (HPSF), Muar.
Insiden itu turut menyebabkan seorang lagi cucu perempuan mereka yang berusia 14 tahun mengalami kecederaan dan kini dirawat di HPSF.