PUTRAJAYA: Istana Kehakiman kecoh seketika apabila kebakaran tercetus di sebuah bilik perbicaraan Mahkamah Persekutuan, tengah hari Khamis.

Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Putrajaya, Abdul Manaf Che Isa berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan kira-kira pukul 12.45 tengah hari berhubung kejadian itu.

Justeru katanya, 13 anggota dari Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Presint 7 bersama lima jentera bergegas  ke lokasi kejadian dalam masa lima minit.

“Pusat Gerakan Operasi terima panggilan yang memaklumkan salah sebuah bilik perbicaraan berbau asap

“Setibanya Pasukan Keluaran Operasi di tempat kejadian, didapati berlaku litar pintas di mana bilik berkenaan  berbau asap,” katanya ketika dihubungi di sini pada Khamis.

Menurut Abdul Manaf, komander operasi mengarahkan anggota membuat pemeriksaan dan pemantauan lokasi kejadian bagi memastikan keadaan selamat.

Kejadian itu katanya berlaku ketika bilik tersebut kosong dan tiada sebarang prosiding berjalan.

Beliau memberitahu,  kes itu diserahkan kepada pihak penyelenggaraan bangunan untuk tindakan lanjut.

Operasi tamat sepenuhnya pada pukul 1.09 tengah hari.