KUALA LUMPUR: Dua pelajar cemerlang Malaysia dipilih menyertai Program Pelajar Musim Panas CERN (CSSP) 2024 di Geneva, Switzerland yang menjanjikan pengalaman luar biasa dengan kuliah khas oleh pakar global dalam bidang fizik zarah secara teori dan eksperimen, kejuruteraan serta pengkomputeran.

Mereka ialah Nurul Nabiilah Sulaiman, 25, pemegang Ijazah Sarjana Muda Sains Fizik dari Universiti Malaya dan kini mengikuti pengajian Sarjana Sains dalam Kejuruteraan Komunikasi di Universiti Islam Antarabangsa Malaysia serta Shim Zi Jun, 23, pelajar Ijazah Sarjana dalam Kejuruteraan Awam di Universiti Nottingham.

Menurut kenyataan Kementerian Sains, Teknologi dan Inovasi (MOSTI), mereka adalah antara 150 saintis muda dari seluruh dunia yang ditawarkan peluang istimewa untuk mengambil bahagian secara aktif dalam operasi harian kumpulan penyelidik yang menjalankan eksperimen di Pertubuhan Penyelidikan Kajian Nuklear Eropah (CERN).

Program itu akan berlangsung dari 1 Julai hingga 25 Ogos 2024.

Menteri Sains, Teknologi dan Inovasi Chang Lih Kang berkata CSSP merupakan peluang penting untuk bakat muda tanah air berkembang, berinovasi dan menerajui Malaysia pada masa akan datang dengan kecemerlangan saintifik serta teknologi.

"Sejak 2012, MOSTI dan Akademi Sains Malaysia (ASM) telah menghantar 25 pelajar termasuk edisi tahun ini ke CSSP untuk meningkatkan keupayaan saintifik negara dan mempromosikan kerjasama antarabangsa.

"Inisiatif ini dapat menyumbang kepada agenda nasional kita dalam membangunkan kumpulan bakat yang teguh dan dengan melabur dalam pelajar kita, kita mempersiapkan mereka untuk tampil lebih cemerlang dalam bidang masing-masing dan menyokong visi Malaysia ke arah menjadi negara berteknologi tinggi menjelang 2030," katanya.

Nurul Nabiilah pula berkata minatnya dalam kerja-kerja komuniti dan sains telah mendorong semangat kerjasama serta dedikasi beliau terhadap pembelajaran sepanjang hayat.

"Saya amat teruja dan berbesar hati mewakili Malaysia di CSSP 2024. Ini adalah peluang luar biasa bagi merealisasikan impian saya untuk menjejakkan kaki ke makmal fizik zarah terbesar di dunia!

"Peluang sekali seumur hidup ini membolehkan kami menyumbang kepada penyelidikan baharu dan membawa semangat inovatif negara kita ke peringkat global.

"Selepas program ini, saya berhasrat untuk memberi inspirasi kepada belia Malaysia sekali gus memupuk minat mereka dalam bidang sains terutama fizik dan kejuruteraan untuk memartabatkan komuniti saintifik negara.

"Pengalaman ini benar-benar bermakna dalam hidup saya dan merupakan sesuatu yang tidak mungkin saya lupakan," katanya.

Sementara itu, Shim yang mahir dalam program AutoCAD, Revit serta Microsoft Office pula begitu bersemangat untuk menyumbangkan kepakaran kejuruteraan beliau kepada CSSP dan berkata beliau bangga serta berbesar hati untuk mewakili Malaysia dalam program ini.

"Saya amat bersyukur untuk peluang ini kerana ia membantu saya merealisasikan impian zaman kanak-kanak saya. Berbekalkan pendedahan yang tidak ternilai dalam sains, perspektif saya mengenai kehidupan telah berubah menjadi lebih baik dan membantu saya melangkah keluar dari zon selesa.

""Saya berharap perkongsian pengalaman ini akan memberi inspirasi kepada lebih ramai pelajar STEM pada masa hadapan di Malaysia," katanya.

Presiden ASM Datuk Dr Tengku Mohd Azzman Shariffadeen berkata penyertaan pelajar Malaysia dalam CSSP adalah selaras dengan misi akademi itu untuk memupuk dan membangunkan bakat terkemuka dalam bidang sains, teknologi dan inovasi.

"Penyertaan dalam program antarabangsa berprestij seperti CSSP memupuk bakat bernilai tinggi yang akan menyumbang secara positif kepada kapasiti dan keupayaan inovatif kita," katanya.

Tahun ini, ASM menjalankan proses pencalonan dan pemilihan CSSP yang menyaksikan 47 calon di senarai pendek.

Jawatankuasa Pemilihan CSSP telah menjalankan temu duga bagi mengenal pasti calon yang paling cemerlang.

Melalui program ini, peserta akan terlibat dalam lawatan sambil belajar secara mendalam ke fasiliti utama CERN seperti ATLAS, Synchrocyclotron, Antiproton Decelerator dan Pusat Data. - BERNAMA