PENYERANG Atletico Madrid, Angel Correa dikenakan penggantungan lima perlawanan akibat kata-kata kesatnya terhadap pengadil pada hujung minggu lalu, menurut Persekutuan Bola Sepak Sepanyol (RFEF).

Pemain antarabangsa Argentina itu dilayangkan kad merah langsung pada minit ke-88 ketika tumpas 1-2 kepada Getafe dalam La Liga.

Kad merah itu dilayangkan selepas terjahan kerasnya menggunakan stud ke atas pertahanan lawan, Djene, selepas insiden itu disemak oleh Video Bantuan Pengadil (VAR).

Correa selepas itu berulang kali menghina pengadil, Cuadra Fernandez, yang memasukkan kenyataan penyerang itu dalam laporan perlawanan.

Hukuman itu termasuk penggantungan satu perlawanan kerana kad merah dan empat lagi kerana penghinaan yang menyusul, kata RFEF.

Pemain berusia 30 tahun itu akan terlepas lima perlawanan domestik Atletico, termasuk perlawanan La Liga menentang Barcelona, Espanyol, Sevilla, dan Real Valladolid.

Pengantungan juga melibatkan perlawanan separuh akhir kedua Piala Sepanyol menentang Barca.

Kehilangan Correa juga tamparan buat Atletico, yang kini kehilangan sentuhan magis di bahagian serangan.

Correa menjaringkan tujuh gol dalam 38 penampilan dalam semua pertandingan musim ini. - Sinar Harian