MANILA: Sekurang-kurangnya 11 orang maut dalam kebakaran yang berlaku awal pagi Jumaat di sebuah bangunan komersial dan kediaman lima tingkat di ibu negara Filipina, Manila, kata pihak berkuasa.

Ahli Majlis Kampung Nelson Ty berkata Biro Perlindungan Kebakaran mengesahkan kesemua mangsa terkorban selepas terperangkap di dalam bangunan yang musnah akibat kebakaran yang berlaku sebelum 7.30 pagi waktu tempatan, lapor Xinhua.

Bomba mengambil masa dua jam untuk memadamkan kebakaran itu.

Menurut Ty, antara yang maut ialah isteri pemilik bangunan dengan mayatnya ditemukan di tingkat tiga bangunan.

Seorang pengawal keselamatan bangunan memberitahu pemberita di lokasi kejadian bahawa sebuah tangki gas petroleum cecair di kantin di tingkat pertama meletup, menyebabkan kebakaran itu.

Bagaimanapun, biro yang sedang menjalankan siasatan masih belum mengesahkan punca kebakaran itu.

-- BERNAMA