Turun dengan serba biru, pasukan tuan rumah bimbingan Albert Capellas yang menerima sokongan padu penyokong sendiri, mengejutkan Thailand dengan gol pembukaan menerusi rembatan padu kaki kiri Sandro Reyes dari luar kotak penalti pada minit ke-21.
Selepas beberapa siri serangan, pasukan pelawat kendalian Masatada Ishii akhirnya berjaya menyamakan kedudukan pada hujung separuh masa pertama, menerusi satu gerakan balas pantas yang disudahkan Suphanan Bureerat selepas menerima hantaran Patrik Gustavsson pada minit ke-45.
Di hujung tambahan masa separuh masa kedua, Enrique Linares muncul wira The Azkals apabila menjaringkan gol kemenangan pada minit ke-95 menerusi tandukan, selepas menyambut tandukan Paul Tabinas dalam kotak penalti, hasil sepakan percuma Zico Bailey.
Kejayaan malam tadi menyaksikan Filipina menewaskan Thailand buat kali pertama dalam tempoh 52 tahun di semua pertandingan, selepas kali terakhir merakam kemenangan 1-0 pada Jun 1972.
Ini bakal menjadi motivasi penting Filipina menjelang aksi timbal balik yang dijadual berlangsung di Stadium Nasional Rajamangala, Bangkok Isnin depan.
Sebagai rekod, Filipina belum pernah mara sehingga ke final Piala ASEAN yang sebelum ini dikenali antaranya Kejohanan Piala Persekutuan Bolasepak ASEAN (AFF), dengan kali terakhir beraksi di pentas separuh akhir adalah pada edisi 2018 yang menyaksikan mereka tewas agregat 2-4 kepada Vietnam.
-- BERNAMA