Pemain gantian, Suphanat Mueanta muncul wira pasukan Thailand apabila menjaringkan gol kemenangan pada separuh masa kedua masa tambahan selepas kedudukan agregat terikat 3-3.
Pasukan tuan rumah kendalian Masatada Ishii, bangkit daripada kekalahan 1-2 pada perlawanan pertama apabila membuka tirai jaringan pada minit ke-37 menerusi rembatan jarak dekat Peeradon Chamratsamee selepas Adrian Ugelvik gagal mengeluarkan bola hantaran lintang Seksan Ratree.
Thailand menggandakan kedudukan pada minit ke-54 melalui Patrik Gustavsson yang bijak melepasi perangkap ofsaid sebelum tenang melepaskan rembatan yang menewaskan Quincy Kammeraad di gawang Filipina menyaksikan juara tujuh kali itu mendahului dengan agregat 3-2.
Bagaimanapun, harapan Thailand untuk mencatat kemenangan segera tergugat apabila pemain gantian Bjorn Kristensen menyamakan agregat 3-3 pada minit ke-84 menerusi rembatan deras dari luar kotak penalti yang gagal diselamatkan penjaga gol Patiwat Khammai.
Patiwat kemudian bertindak cemerlang apabila menyelamatkan dua percubaan berbahaya berturut-turut Filipina menerusi tandukan Amani Aguinaldo dan rembatan susulan Javier Gayoso sebelum perlawanan dilanjutkan ke masa tambahan.
Di masa tambahan, Suphanat menceriakan puluhan ribu penyokong Thailand apabila menanduk masuk hantaran lintang Worachit Kanitsribumphen pada minit ke-116 untuk mengesahkan kemenangan pasukan.
Di pentas final yang berlangsung secara timbal balik, Thailand akan berkunjung ke Vietnam Khamis ini sebelum melayani kunjungan pasukan lawan pada Ahad.
Sebagai rekod, Thailand menewaskan Vietnam dengan agregat 3-2 pada final edisi lepas.
-- BERNAMA